FGV perkukuh pengaruh di Timur Tengah, Afrika Utara menerusi Gulfood 2026

FGV Holdings Berhad (FGV) kembali menyertai Gulfood 2026, pameran perdagangan makanan dan minuman terbesar dunia sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai rakan kulinari dipercayai Malaysia di rantau Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA).
Menerusi platform perdagangan global itu, FGV terus memacu strategi pengembangan serantaunya dengan memperkukuh kerjasama komersial, meluaskan rangkaian pengedaran dan mempertingkatkan kehadiran di pasaran utama MENA.
Pada edisi kali ini, FGV tampil di dua segmen utama iaitu sektor minyak dan lemak di Dubai World Trade Centre serta sektor perdagangan runcit di Dubai Exhibition Centre.
Kehadiran dwisegmen itu membolehkan kumpulan berkenaan berinteraksi dengan pelbagai pembeli dan rakan dagang merangkumi sektor runcit, perkhidmatan makanan serta pembeli industri.
Pengunjung ke reruai FGV turut disajikan dengan demonstrasi masakan secara langsung, aplikasi produk serta sesi merasa, sekali gus memberi peluang kepada rakan dagang menilai kepelbagaian, kualiti dan kesesuaian produk dengan citarasa serta keperluan pengguna serantau.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Fakhrunniqm Othman berkata, rantau MENA merupakan tonggak utama kepada strategi pertumbuhan antarabangsa kumpulan itu.

“Gulfood memberi peluang kepada FGV menterjemahkan permintaan pasaran kepada kerjasama jangka panjang, memperluaskan jejak pengedaran dan mempamerkan keupayaan kami sebagai rakan kulinari dipercayai Malaysia.
“Fokus kami adalah membina hubungan komersial yang mampan bagi menyokong keselamatan makanan, penciptaan nilai dan pertumbuhan lestari di rantau ini,” katanya.
Menurut beliau, pameran FGV di Gulfood 2026 menonjolkan portfolio produk dan keupayaan operasi yang selari dengan keperluan pasaran serantau, dengan penekanan kepada jaminan halal, kebolehkesanan menyeluruh, kebolehpercayaan bekalan serta tawaran hiliran bernilai tambah termasuk keupayaan menyesuaikan formulasi produk mengikut spesifikasi pelanggan.
Permintaan terhadap produk makanan dan minuman (F&B) Malaysia di rantau MENA dilaporkan terus meningkat.
Pada 2024, eksport makanan diproses Malaysia mencecah RM2.32 bilion, dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) kekal sebagai destinasi utama.
FGV telah menembusi pasaran MENA sejak 2018 dengan membekalkan produk seperti minyak masak dan lemak khusus untuk kegunaan industri serta pengguna melibatkan jumlah eksport sekitar 100,000 tan metrik.
Berteraskan asas eksport yang kukuh itu, FGV melihat pasaran MENA sebagai keutamaan strategik di bawah pelan pengembangan hiliran, selain meneroka peluang untuk memperluaskan lagi kehadiran di rantau berkenaan.
FGV turut komited memenuhi permintaan melalui jenama pengguna seperti Saji, Seri Pelangi, Adela, Premeo dan Gula Prai, selari dengan agenda keselamatan makanan negara bagi memastikan bekalan makanan berkualiti, berkhasiat dan mampu milik.
Sebagai syarikat agribisnes global berpangkalan di Malaysia, FGV merupakan antara pengeluar Minyak Sawit Mentah (CPO) terbesar dunia serta pengambil utama tandan buah segar pekebun kecil di negara ini, khususnya daripada peneroka Felda dan pekebun kecil persendirian.
Selain prestasi komersial, FGV terus memikul tanggungjawab sosial dengan menyokong komuniti setempat serta menyumbang kepada pembangunan negara.
FGV kini beroperasi di Asia, Timur Tengah, Amerika Utara dan Eropah dengan sokongan lebih 45,000 tenaga kerja merentasi pelbagai divisyen.
Ringkasan AI
- FGV Holdings Berhad menyertai Gulfood 2026 untuk mengukuhkan kedudukan sebagai rakan kulinari dipercayai di rantau MENA
- Melalui penyertaan itu, FGV memperkukuh kerjasama komersial dan memperluas rangkaian pengedaran di MENA
- FGV tampil di dua segmen utama di pameran tersebut, mencakupi sektor Minyak dan Lemak serta Perdagangan Runcit
- Penyertaan tersebut membolehkan FGV berinteraksi dengan pelbagai pembeli dan rakan dagang, serta menunjukkan keupayaan produknya
- Rantau MENA dilihat sebagai tonggak utama dalam strategi pertumbuhan antarabangsa FGV
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
