PM Bulgaria letak jawatan selepas protes antirasuah besar-besaran

SOFIA - Perdana Menteri Bulgaria, Rossen Jeliazkov mengumumkan peletakan jawatan kerajaan pimpinannya pada Khamis selepas kurang setahun memerintah, susulan siri protes antirasuah besar-besaran, lapor France24.
Pengumuman itu dibuat beberapa minit sebelum Parlimen dijadualkan mengundi usul undi tidak percaya yang dibawa pihak pembangkang.
Puluhan ribu rakyat turun ke jalan raya di seluruh negara sejak Rabu bagi membantah kerajaan dan isu rasuah, menjadikan ia protes terbaharu sejak penghujung bulan lalu.
Demonstrasi itu tercetus susulan draf belanjawan 2026 yang didakwa penunjuk perasaan sebagai cubaan menutup gejala rasuah yang semakin berleluasa.

Meskipun kerajaan menarik balik draf belanjawan itu minggu lalu, kemarahan rakyat masih memuncak.
"Kerajaan meletak jawatan hari ini.
"Rakyat daripada semua peringkat umur, latar etnik dan agama telah menyuarakan sokongan terhadap peletakan jawatan ini.
"Tenaga rakyat ini harus disokong dan didorong," kata Jeliazkov kepada wartawan selepas mesyuarat pemimpin parti pemerintah.
Bulgaria, negara termiskin dalam Kesatuan Eropah dijadual menyertai zon euro pada 1 Januari 2026 walaupun kerajaan telah meletak jawatan.
Negara Balkan itu telah tujuh kali mengadakan pilihan raya mengejut sejak 2020 dengan parti-parti politik gagal membentuk kerajaan yang stabil.
Parti konservatif GERB pimpinan Boyko Borissov muncul parti terbesar dalam pilihan raya terbaru tahun lalu, membentuk kerajaan campuran yang memerintah sejak Januari.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Bulgaria, Rossen Jeliazkov, mengumumkan peletakan jawatan kerajaan
- Pengumuman berlaku sebelum Parlimen mengundi usul undi tidak percaya
- Protes antirasuah meluas dengan puluhan ribu rakyat turun ke jalan sejak Rabu
- Protes dipicu oleh draf belanjawan 2026 yang menimbulkan isu rasuah
- Bulgaria berancang sertai zon euro pada 1 Januari 2026 walaupun kerajaan meletak jawatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
