USIM hasilkan cecair pembasmi kuman sendiri

Pasukan Fast LaB Usim sedang menghasilkan cecair pembasmi kuman.
Pasukan Fast LaB Usim sedang menghasilkan cecair pembasmi kuman.
A
A
A

NILAI - Pensyarah dari Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengambil inisiatif menghasilkan cecair pembasmi kuman (hand sanitiser) sendiri bagi memenuhi keperluan kakitangan dan pelajar USIM.

Pensyarah Kanan Program Teknologi Kimia Industri FST, Dr Muhammad Zamir Othman berkata, penghasilan itu bukan untuk tujuan komersil tetapi diberikan secara percuma kerana kesukaran mendapatkan bekalan di pasaran.

"Produk ini dihasilkan mengikut piawaian World Health Organization (WHO) dan turut melalui ujian dalam makmal penyelidikan USIM bagi memastikan keberkesanannya terhadap mikroorganisma.

“Proses ini melalui pengawalan keselamatan yang tinggi di dalam makmal. Kos bagi setiap botol hand sanitiser yang dihasilkan ini tidak melebihi RM3.50,” katanya.

Tambahnya, sebanyak 300 botol mini cecair pembasmi kuman bersaiz 60 mililiter siap dalam produksi kumpulan pertama dan sudah diedarkan kepada pelajar.

Menurutnya cecair itu juga boleh diisi semula dalam botol sedia ada di Pusat Kesihatan Universiti dan Klinik Pakar Universiti bagi memastikan bekalan hand sanitiser sentiasa mencukupi.

Dr Muhammad Zamir yang juga Ketua FaST Lab berkata, usaha penghasilan kumpulan pertama cecair pembasmi kuman ini telah bermula pada 16 Mac lalu secara berperingkat.

Katanya, produk ini turut dibekalkan ke jabatan-jabatan kritikal USIM yang beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini termasuk Jabatan Keselamatan, Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti dan Pusat Komunikasi Strategik.

Artikel Berkaitan:

"Kita turut mengedarkan kepada Balai Polis Nilai untuk kegunaan anggota yang terlibat dalam kawalan dan rondaan sepanjang tempoh PKP di sekitar bandar ini," katanya.