Wujud kelompangan RUU cecair, gel nikotin - PFM

Amrahi Buang
Amrahi Buang
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Farmasi Malaysia (PFM) mendakwa wujud satu kelompangan besar berkaitan cecair dan gel nikotin apabila Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023, dibentang tanpa perbahasan di Parlimen pada Khamis.

Presidennya, Amrahi Buang berkata, perkara itu telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama dan dimajukan kepada Jawatankuasa Khas Parlimen Kesihatan namun tidak dilakukan perbahasan.

"Ia secara tidak langsung menimbulkan satu kelompangan perundangan atau lakuna (ketiadaan peruntukan undang-undang tempatan mengenai perkara yang dipertikaikan) kerana cecair dan gel nikotin ini boleh digunakan oleh sesiapa pun termasuk kanak-kanak.

"Ini adalah satu ancaman yang besar kepada rakyat dan negara serta menjadi satu isu kesihatan awam," katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Amrahi, meskipun RUU itu dijangka akan dibentang untuk bacaan kali kedua di Parlimen pada Oktober ini, ia tidak menjamin kemelut kelompangan perundangan tersebut selesai.

Menurutnya, selagi cecair dan gel nikotin ini tidak dikawal oleh RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023, penggunaan bahan itu akan terus berlaku secara bebas.

"Seperti sekarang sejak kerajaan mengeluarkannya daripada Akta Racun (Pindaan) 2022 pada 31 Mac 2023 yang lalu.

"Kelmarin sidang Parlimen juga telah meluluskan cukai eksais yang dikenakan untuk cecair dan gel bagi rokok elektronik dan vape sama ada ia mempunyai nikotin atau tidak.

"Persoalannya adalah apakah yang boleh dilakukan kerajaan untuk menghadapi senario di mana RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 masih belum diluluskan di Parlimen," soalnya.

Berikutan itu, beliau berpandangan bahawa perlu dilaksanakan tindakan yang sewajarnya bagi membendung risiko keracunan dan ketagihan nikotin di negara ini.

"Langkah-langkahnya adalah kabinet perlu mengambil keputusan segera untuk mengembalikan cecair dan gel nikotin ke dalam Akta Racun (Pindaan) 2022.

"Majlis-majlis kerajaan tempatan boleh menarik balik lesen-lesen premis sedia ada untuk perniagaan rokok elektronik dan vape bernikotin," katanya.

Selain itu, Amrahi berkata, majlis kerajaan tempatan boleh memberhentikan pengeluaran lesen-lesen perniagaan rokok elektronik dan vape bernikotin dengan serta merta.

Tambahnya, mereka juga boleh menetapkan jarak premis penjualan rokok elektronik dan vape daripada tempat awam, kediaman, taman dan sekolah termasuk pra-sekolah.

"Penguatkuasaan secara bersepadu dan menyeluruh dilakukan di seluruh negara. Ini termasuk tindakan notifikasi kes keracunan nikotin di seluruh fasiliti kesihatan awam dan swasta.

"Penguatkuasaan larangan merokok di tempat-tempat awam termasuk di kedai-kedai makan dan restoran masih lagi dilakukan oleh Kementerian Kesihatan," jelasnya.