Lelaki didakwa liwat anak tiri sindrom down

IPOH – [DIKEMAS KINI] Seorang mekanik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh pada Khamis atas pertuduhan meliwat anak tiri lelakinya yang menghidap sindrom Down, minggu lalu.
Lelaki berusia 40 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa yang berusia 11 tahun itu di sebuah rumah di Bandar Universiti, dalam daerah Perak Tengah, sekitar jam 7 malam pada 2 Disember 2025.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nor Arfahanim Azureen Arfanuddin menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin warga tempatan yang bukan dalam kalangan ahli keluarga, memandangkan mangsa merupakan anak tiri kepada tertuduh.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan minimum atas alasan pendapatannya sebagai mekanik hanya RM1,800 sebulan, manakala pendapatan isterinya sebagai peniaga pakaian terpakai hanyalah RM500 sebulan.
Dia turut memaklumkan bahawa perlu menyara dua anak termasuk mangsa.
Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM8,000 dan menetapkan dua syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis pada setiap awal bulan serta dilarang mengganggu mangsa dan saksi sehingga kes selesai.
Tarikh 29 Januari 2026 ditetapkan sebagai sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan pelantikan peguam.
Ringkasan AI
- Mekanik didakwa meliwat anak tiri yang menghidap sindrom Down di Ipoh
- Mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason
- Tuduhan melibatkan persetubuhan tidak semula jadi di Perak Tengah
- Boleh dihukum penjara hingga 20 tahun dan sebatan
- Jaminan RM8,000 dengan syarat tambahan melapor diri dan tidak ganggu mangsa
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
