Pekerja kedai besi buruk didakwa rogol anak tiri

Kompleks Mahkamah Seremban
Kompleks Mahkamah Seremban
A
A
A

SEREMBAN - Seorang pekerja kedai besi buruk mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas pertuduhan merogol anak tirinya.

Tertuduh, berusia 32 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, N Kanageswari.

Mengikut dua pertuduhan berasingan, tertuduh didapati telah melakukan kesalahan merogol anak tiri perempuannya yang ketika kejadian berusia 16 tahun 11 bulan dan 17 tahun 11 bulan, yang mana hubungan tertuduh dengan mangsa adalah tidak dibenarkan bawah undang-undang, hukum agama, adat atau kebiasaan untuk berkahwin dengan mangsa.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Melang, Kuala Pilah pada Ogos 2023 dan Ogos 2024.

Berikutan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara tidak kurang daripada lapan tahun dan tidak melebihi 30 tahun serta dikenakan tidak kurang 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan mangsa adalah anak tiri tertuduh dan tinggal serumah, selain ada risiko tertuduh melakukan kacau ganggu terhadap mangsa.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan yang rendah atas alasan dia bekerja di kedai besi buruk dengan pendapatan RM50 sehari dan mempunyai lima orang anak.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM16,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan penjamin warganegara, serta syarat tanbahan perlu melapor diri di balai polis, dilarang menganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi lantikan peguam pada 15 Januari depan.

Artikel Berkaitan:

 

Ringkasan AI

  • Pekerja kedai besi buruk didakwa merogol anak tirinya di Mahkamah Sesyen Seremban
  • Tertuduh berusia 32 tahun mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan merogol
  • Kejadian rogol berlaku pada Ogos 2023 dan Ogos 2024 di rumah di Jalan Melang, Kuala Pilah
  • Tertuduh boleh dijatuhi hukuman penjara antara lapan hingga 30 tahun dan sekurang-kurangnya 10 sebatan
  • Mahkamah tetapkan jaminan RM16,000 dan kes untuk sebutan semula pada 15 Januari

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!