Lelaki amang seksual anak tiri selepas tawar telefon sebagai habuan

SEREMBAN - Seorang pemandu lori syarikat pembersihan dijatuhi hukuman penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak tiri perempuanya yang berusia 12 tahun, Jun lalu.
Hakim, Datin Surita Budin menjatuhkan hukuman itu terhadap lelaki berusia 45 tahun terbabit selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan.
Beliau mengarahkan hukuman berkenaan bermula dari tarikh tertuduh ditangkap selain memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan dan pengawasan polis selama satu tahun selepas hukuman selesai.
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun semasa kejadian dengan cara menyentuh payudara dan kemaluan mangsa bagi tujuan seksual.
Kesalahan itu dilakukan pada 10 Jun 2025, jam lebih kurang 2 pagi di dalam bilik tidur di sebuah rumah di Kampung Tanjung Sena Hulu di Rembau.
Berikutan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan -kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
Sekiranya disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan sebatan.
Mengikut fakta kes, tertuduh telah masuk ke dalam bilik tidur mangsa dan bertanya sama ada mangsa mahu bermain telefon bimbit.
Tertuduh yang merupakan bapa tiri mangsa telah berkata jika mahu telefon bimbit 'bagi dia rasa dulu' dan kemudian tertuduh telah meraba dan menghisap kedua-dua payudara dan menyentuh kemaluan mangsa.
Peguam probono, Mohd Hanif Hassan yang mewakili tertuduh memberitahu, tertuduh bekerja sebagai pemandu lori di syarikat pembersihan dengan pendapatan RM1,700 sebulan serta perlu menanggung tiga anak masih bersekolah manakala isteri tidak bekerja.
Ujarnya, ini merupakan kesalahan pertama tertuduh dan pengakuan salahnya telah menjimatkan kos serta masa mahkamah.
"Saya memohon mahkamah memberi hukuman minimum terhadap tertuduh yang juga telah menyesal akan perbuatannya," katanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi memohon mahkamah mengambil kira kepentingan awam mengatasi kepentingan tertuduh.
Jelasnya, tertuduh merupakan bapa tiri mangsa dan sepatutnya melindungi mangsa, bukannya mengambil kesempatan melakukan perbuatan jijik.
"Mohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran supaya tertuduh tidak melakukan sama pada masa akan datang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

