Kebakaran maut: Forensik, Unit K9 kembali ke lokasi hari ini

BUTTERWORTH – Tumpuan siasatan kebakaran yang mengorbankan seorang wanita dan anak angkatnya di Taman Rathna, Telok Air Tawar di sini difokuskan kepada usaha mengenal pasti titik permulaan api.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata, pasukan forensik bomba telah kembali ke lokasi bersama Unit K9 bagi membantu siasatan terperinci pada pagi Khamis.
"Anjing pengesan baka English Springer Spaniel bernama Woddy dan Sam digerakkan seawal jam 10 pagi untuk membantu pasukan mengenal pasti sebarang petunjuk penting di tempat kejadian.
“Kedua-dua anjing ini mempunyai tugasan khusus. Seekor akan mencari elemen yang berkaitan punca kebakaran, manakala seekor lagi berfungsi sebagai pengesah. Mereka bekerja secara berpasangan bagi memastikan ketepatan siasatan," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Menurutnya, penggunaan dua anjing pengesan itu adalah sebahagian prosedur standard dalam setiap siasatan kebakaran dan bukan petunjuk wujudnya unsur perbuatan khianat.
“Tidak semestinya apabila unit K9 dipanggil, ada unsur api sengaja dinyalakan.
"Pemanggilan unit ini adalah sebahagian daripada ketetapan kami bagi meneliti semua kemungkinan,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Mohamad Shoki berkata, punca sebenar insiden hanya dapat dipastikan selepas ujian makmal dilakukan berdasarkan sampel dan maklumat yang diperoleh di lokasi.
“Siasatan di lokasi ialah langkah awal.
"Hasil makmal akan menentukan punca sebenar kejadian,” jelasnya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan seorang wanita bersama anak angkatnya ditemukan rentung manakala seorang lagi mangsa cedera dalam kebakaran sebuah rumah di Lorong Nakhoda 5, Taman Rathna, di sini pada pagi Rabu.
Dalam kejadian pada jam 9.41 pagi itu, kebakaran membabitkan sebuah rumah berkembar kelas A dengan anggaran kemusnahan 85 peratus.
Selain dua mangsa itu, seorang lagi mangsa lelaki berjaya dibawa keluar.
Mangsa, Daniel Quyum Kamarozlan, 20-an ditemui cedera di kawasan pintu dapur pada jam 10.21 pagi.
Dia kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya dan dijangka menjalani pembedahan di bahagian kepala pada Khamis.
Dua lagi mangsa, Hayani Yaakob, 50an dan anak angkatnya, Andra, berusia lima tahun ditemukan rentung di ruang tamu berhampiran pintu keluar utama pada jam 10.59 pagi.
Kebakaran berjaya dikawal pada jam 10.15 pagi sebelum dipadamkan sepenuhnya pada jam 11.21 pagi.
Ringkasan AI
- Tumpuan siasatan kebakaran di Taman Rathna difokuskan kepada usaha mengenal pasti titik permulaan api
- Pasukan forensik bomba dan Unit K9 digerakkan untuk membantu siasatan dengan penggunaan dua anjing pengesan
- Penggunaan dua anjing pengesan adalah prosedur standard dalam siasatan kebakaran dan bukan petunjuk unsur khianat
- Punca sebenar insiden hanya dapat dipastikan selepas ujian makmal dilakukan
- Seorang wanita bersama anak angkatnya ditemukan rentung dalam kejadian itu, manakala seorang lagi mangsa lelaki cedera
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

