Mangsa kebakaran dirawat ICU, tunggu pembedahan kepala

BUTTERWORTH - Lelaki yang cedera dalam kebakaran sebuah rumah di Telok Air Tawar pada Rabu dijangka akan menjalani pembedahan di bahagian kepala pada Khamis.
Menurut Kamarozlan Muhammad, 57, anak lelakinya, Daniel Quyum Kamarozlan, 20-an, kini sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya dan dilaporkan stabil.
"Semalam (Rabu), doktor kata anak saya stabil. Dia sekarang dirawat di ICU (Hospital Seberang Jaya).
"Tunggu nak buat 'operation' di bahagian kepala sahaja," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Sementara itu, Kamarozlan berkata, proses bedah siasat terhadap mayat bekas isterinya dan anak angkat akan dijalankan pada pagi Khamis.
"Bedah siasat akan buat pagi ini di Hospital Kepala Batas.
"Mengenai lokasi pengebumian, saya difahamkan ahli keluarga arwah yang akan urus. Kemungkinan akan dikebumikan di Perlis memandangkan arwah berasal dari sana," ujarnya.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan seorang wanita bersama anak angkatnya ditemukan rentung manakala seorang lagi mangsa cedera dalam kebakaran sebuah rumah di Lorong Nakhoda 5, Taman Rathna di sini pada pagi Rabu.

Dalam kejadian pada jam 9.41 pagi itu, kebakaran membabitkan sebuah rumah berkembar kelas A dengan anggaran kemusnahan 85 peratus.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata, selain dua mangsa itu, seorang lagi mangsa lelaki berjaya dibawa keluar.
Menurutnya, mangsa ditemui cedera di kawasan pintu dapur pada jam 10.21 pagi.
“Dua lagi mangsa, Hayani Yaakob, 50an dan anak angkatnya, Andra, berusia lima tahun ditemukan rentung di ruang tamu berhampiran pintu keluar utama pada jam 10.59 pagi,” katanya.
Kebakaran berjaya dikawal pada jam 10.15 pagi sebelum dipadamkan sepenuhnya pada jam 11.21 pagi.
Ringkasan AI
- Lelaki cedera dalam kebakaran rumah di Telok Air Tawar stabil dan akan menjalani pembedahan di kepala
- Daniel Quyum Kamarozlan dirawat di ICU Hospital Seberang Jaya
- Bedah siasat akan dijalankan terhadap mayat bekas isteri dan anak angkat
- Kebakaran sebuah rumah di Lorong Nakhoda, Telok Air Tawar membabitkan kemusnahan 85 peratus
- Dua mangsa lain, Hayani Yaakob dan anak angkatnya Andra ditemukan rentung
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

