Tentera cemerlang kursus kendali kereta api ECRL di China bakal diserap kerja


KOTA BHARU - Sembilan anggota tentera yang menamatkan kursus intensif kendalian kereta api projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di China dengan cemerlang tahun depan akan diserap bekerja dalam projek mega berkenaan.
Ketua Pengarah Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat), Datuk Amir Md Noor berkata, mereka berpotensi diserap sebagai pemandu kereta api ECRL atau mana-mana kekosongan yang memerlukan tenaga mahir.
"Kursus rintis yang sedang dijalani ini merupakan persediaan laluan kerjaya kedua yang baharu selepas tempoh persaraan dua tahun lagi.
“Mana-mana pelatih yang tamat dengan baik dan berprestasi cemerlang akan mendapat penempatan kerja," katanya pada sidang akhbar selepas penyerahan sumbangan Perhebat kepada Sekolah Angkat Madani di Sekolah Kebangsaan Kem Desa Pahlawan di sini pada Rabu.
Turut hadir Guru Besar, Wan Mohd Abd Malik Wan Omar.
Sebelum ini, akhbar melaporkan kesemua pelatih berusia 40 hingga 42 tahun itu akan menjalani latihan selama setahun di Kolej Vokasional Keretapi Liuzhou selepas berlepas ke China pada September lalu.
Kata Amir, program berprestij tersebut terlaksana melalui kerjasama strategik Perhebat dengan Malaysia Rail Link, Universiti Kolej Yayasan Pahang, Akademi Rel Pahang dan China Communications Construction Company (Malaysia) selain ditaja Yayasan Pahang.
“Setiap peserta menerima tajaan hampir RM35,000 seorang menjadikan nilai keseluruhan latihan hampir RM300,000 bagi sembilan anggota.
“Ini kumpulan pertama dan jika mereka berjaya, ia akan membuka peluang lebih luas kepada anggota tentera lain serta kami mahu mereka menjadi contoh terbaik,” kata Amir.
Tambah beliau, pemilihan pelatih dibuat melalui proses temu duga industri, dengan faktor minat, disiplin dan potensi menjadi keutamaan, walaupun tidak memiliki asas dalam pengendalian kereta api.
Latihan kereta api itu merupakan sebahagian daripada agenda transformasi Perhebat yang menekankan penyediaan kerjaya kedua bermaruah untuk anggota bakal meninggalkan khidmat Angkatan Tentera Malaysia.
Selain itu, menurutnya, Perhebat turut memperluas jaringan industri termasuk sektor pembuatan, selenggaraan pesawat, industri kasut ketenteraan dan teknologi helikopter.
“Kami tidak mahu mereka berehat terlalu lama selepas tamat perkhidmatan.
“Disiplin tentera adalah kekuatan besar dan kerjasama industri seperti ini memastikan mereka dapat menyambung kehidupan dengan pendapatan stabil serta kerjaya yang terjamin,” jelasnya.
Ringkasan AI
- Sembilan anggota tentera Malaysia akan diserap dalam dalam projek ECRL selepas menamatkan kursus kendalian kereta api di China
- Mereka berpotensi menjadi pemandu kereta api ECRL atau mengisi kekosongan lain yang memerlukan tenaga mahir
- Program latihan itu dijalankan sebagai persediaan untuk karier kedua selepas persaraan dari tugas tentera
- Program itu terlaksana melalui kerjasama antara Perhebat dengan pelbagai pihak termasuk Malaysia Rail Link dan disokong oleh Yayasan Pahang
- Peserta dipilih melalui temu duga dengan penekanan pada minat, disiplin, dan potensi walaupun tiada asas dalam pengendalian kereta api
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

