Anggota tentera maut, motosikal rempuh pikap polis rosak

ALOR GAJAH - Seorang anggota tentera maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah pikap polis rosak yang berhenti di lorong kecemasan Kilometer 198.3 Lebuhraya PLUS arah selatan dekat Ayer Keroh, tengah hari Sabtu.
Dalam kejadian sekitar jam 12 tengah hari itu, mangsa, Mohd Firdaus Ghani, 37, dari Kem Terendak, Masjid Tanah mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar berkata, kejadian berlaku selepas Toyota Hilux dipandu seorang anggota polis berusia 39 tahun berhenti di lorong kecemasan selepas mengalami kerosakan enjin.
"Mangsa yang datang dari arah belakang kemudian dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh bahagian belakang kanan kenderaan berkenaan.
"Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas kesihatan dan mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat," katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987
Orang awam yang mempunyai maklumat tambahan diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Loh Gia Xao, di talian 019-538 2353 bagi membantu siasatan.
Ringkasan AI
- Seorang anggota tentera maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah pikap polis rosak di lorong kecemasan Lebuhraya PLUS
- Mangsa, Mohd Firdaus Ghani, mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian
- Kejadian berlaku selepas Toyota Hilux dipandu seorang anggota polis berhenti kerana kerosakan enjin
- Mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh bahagian belakang kanan pikap tersebut
- Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

