'Keadaan menakutkan, bangunan bergoyang' - Rakyat Malaysia kongsi detik cemas gempa bumi di Jepun

Suasana di hotel penginapan Zulhazri ketika gempa berlaku.
Suasana di hotel penginapan Zulhazri ketika gempa berlaku.
A
A
A

SHAH ALAM - "Keadaan ketika itu sangat menakutkan dengan tangga dan bangunan yang bergoyang tetapi saya gagahi diri mengetuai rakan-rakan lain untuk mencari tempat dan laluan selamat untuk berlindung."

Demikian kata seorang rakyat Malaysia, Dr Zulhazri Abu Bakar, 51, ketika berkongsi detik mencemaskan berdepan dengan gempa bumi kuat yang melanda Jepun pada malam Isnin sewaktu bercuti di Saporro.

Menurut perunding komunikasi itu, ketika kejadian beliau bersama isteri, Hanizah Hisham, 43, bersama empat lagi rakan berada di dalam bilik di tingkat 10 salah sebuah hotel di bandar raya berkenaan.

"Ketika sedang berehat di dalam bilik bersama isteri, tiba-tiba saya menerima amaran gempa bumi menerusi Sistem J-Alert Jepun menerusi telefon bimbit. Tanpa berlengah saya dan isteri segera mencapai pasport dan peralatan penting lain sebelum bergegas keluar dan memanggil rakan-rakan lain untuk turun ke tingkat bawah.

"Mujurlah pada hari pertama mendaftar masuk hotel, saya tergerak hati untuk memerhati laluan keluar jika ada kecemasan. Jadi, agak mudah untuk saya mencari laluan keluar ketika detik genting itu," katanya kepada Sinar Harian.

 

Gempa berkekuatan 7.2 skala Richter menggegarkan luar pantai utara Jepun pada malam Isnin hingga mencetuskan amaran tsunami.

Agensi Meteorologi di Tokyo mengesahkan, pusat gempa terletak di luar pantai wilayah Aomori dan gegaran kuat itu berlaku pada jam 11.15 malam waktu tempatan.

Susulan itu, pihak berkuasa memberi amaran tentang potensi gelombang tsunami setinggi 3 meter yang dijangka melanda kawasan pesisir pantai.

Artikel Berkaitan:

Menceritakan lebih lanjut detik mencemaskan tersebut, Zulhazri berkata, dalam keadaan mendebarkan itu beliau hanya mampu beristighfar dan berdoa tiada perkara tidak diingini berlaku.

"Bayangkan ini pengalaman pertama saya dan rakan-rakan melalui pengalaman sebegini dengan keadaan tangga dan bangunan yang bergoyang dan mulai rasa pening, tapi alhamdulillah syukur kami selamat.

"Selepas kira-kira sejam kami berada di lobi hotel bersama-sama pelancong lain, pihak hotel kemudian memaklumkan kami boleh kembali ke bilik selepas keadaan disahkan selamat.

"Sebenarnya berdepan detik cemas ini bukan kali pertama tapi kali kedua dalam hidup saya. Sebelum saya lalui pengalaman hampir serupa apabila berlaku pengeboman di Dataran Taksim, Turkiye," katanya.

Beliau menambah, insiden yang berlaku ketika kunjungan kali pertamanya di bumi Jepun itu turut memberi peringatan dan kesedaran untuk sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan.

"Dalam kita berseronok ketika bercuti perlu diingatkan juga untuk sentiasa memastikan pasport dan telefon sentiasa berada bersama-sama untuk memudahkan urusan jika berlaku bencana seperti ini," katanya.

Ringkasan AI

  • Dr Zulhazri Abu Bakar, 51, berkongsi pengalaman menakutkan berdepan gempa bumi kuat di Jepun
  • Ketika kejadian, beliau bersama isteri dan empat rakan sedang berehat di bilik hotel tingkat 10 di Saporro
  • Diterima amaran gempa menerusi Sistem J-Alert Jepun dan segera mencari laluan selamat untuk berlindung
  • Gempa berkekuatan 7.2 skala Richter menggegarkan luar pantai utara Jepun dan mencetuskan amaran tsunami
  • Insiden tersebut memberi kesedaran untuk sentiasa bersiap sedia dengan pasport dan telefon bimbit sewaktu bercuti

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!