Gesa penempatan semula doktor telus, strategik - MMA

SHAH ALAM - Langkah kerajaan menempatkan semula doktor dari ibu pejabat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke fasiliti kesihatan perlu dilaksanakan secara strategik dan tidak menjejaskan fungsi penting dalam sistem kesihatan negara.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr Thirunavukarasu Rajoo berkata, MMA mengiktiraf hasrat kerajaan untuk memperkukuh perkhidmatan barisan hadapan dengan mengoptimumkan tenaga kerja, namun menegaskan isu itu tidak boleh dipermudahkan.
Menurutnya, walaupun terdapat peranan di ibu pejabat yang sesuai untuk dipindahkan ke hospital atau klinik, banyak fungsi di peringkat pusat kekal kritikal kepada kestabilan sistem termasuk perancangan kesihatan awam, tadbir urus klinikal, latihan, kesihatan digital, kawalan kualiti dan keselamatan, serta pembangunan dasar jangka panjang.
“MMA berpandangan bahawa penempatan semula mesti dibuat secara strategik, bukan seragam, bagi memastikan fungsi sistem tidak terjejas,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu mengakui bahawa sebahagian doktor di ibu pejabat tidak lagi terlibat dalam amalan klinikal aktif, menyebabkan proses menempatkan mereka semula ke bidang klinikal bukanlah penyelesaian mudah.
Katanya, padanan kompetensi, latihan penyegaran dan penetapan jelas mengenai bidang klinikal yang akan disokong perlu ditentukan bagi memastikan keselamatan pesakit serta kesinambungan perkhidmatan.
“Penempatan semula bukan sekadar pertukaran lokasi, ia adalah tanggungjawab klinikal dan operasi yang mesti dilaksanakan dengan berhati-hati,” jelasnya.
MMA turut menegaskan bahawa prinsip sama harus diguna pakai terhadap mana-mana doktor yang dipindahkan dari hospital atau klinik ke fungsi di ibu pejabat bagi memastikan peranan perkhidmatan dan dasar kekal berkesan.
Bagi mengekalkan keyakinan awam, MMA mahu sebarang pengagihan semula tenaga kerja doktor dibuat secara telus termasuk penjelasan mengenai kategori doktor terbabit, kriteria pemilihan dan bidang tugasan.
“Ketelusan penting untuk mengelakkan salah faham dan memastikan akauntabiliti dalam mengukuhkan sistem di bahagian paling diperlukan,” katanya.
MMA turut menggesa KKM mempertimbangkan peluasan model Pertukaran Suka Sama Suka yang kini hanya untuk jururawat supaya melibatkan doktor bagi memberi lebih fleksibiliti dan meningkatkan kepuasan penempatan.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan bahawa penempatan semula sahaja tidak mampu menyelesaikan cabaran tenaga kerja kesihatan negara yang telah berlarutan.
Sebaliknya, strategi tenaga kerja menyeluruh yang berasaskan data merangkumi penjagaan primer, kepakaran kritikal, laluan latihan dan retensi perlu diberi keutamaan.
“MMA sedia bekerjasama dengan KKM bagi memastikan pembaharuan yang dirancang adalah praktikal, berasaskan bukti dan selaras dengan amalan terbaik global,” ujarnya.
Beliau turut menekankan bahawa matlamat utama adalah memperkukuh barisan hadapan dan meningkatkan kualiti penjagaan kesihatan untuk rakyat.
Terdahulu, media melaporkan kerajaan akan memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam dengan menempatkan semula pegawai perubatan dan anggota polis ke hospital, klinik serta balai yang lebih memerlukan tenaga kerja.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dilaporkan berkata, sebelum ini ramai doktor pakar ditempatkan di ibu pejabat Kementerian Kesihatan (KKM) berbanding fasiliti kesihatan yang memerlukan kepakaran mereka.
Beliau turut berkata, langkah sama turut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan 611 pegawai dari Bukit Aman dipindahkan ke balai-balai daerah dan negeri bagi mengukuhkan perkhidmatan di lapangan.
Ringkasan AI
- Langkah kerajaan menempatkan semula doktor ke fasiliti kesihatan perlu strategik untuk tidak menjejaskan fungsi sistem kesihatan
- MMA mengiktiraf hasrat kerajaan tapi menekankan penempatan tidak boleh dipermudahkan
- Pentingnya peranan di ibu pejabat seperti perancangan kesihatan awam, tadbir urus klinikal dan pembangunan dasar
- Penempatan semula mesti mempertimbangkan kompetensi doktor dan keperluan latihan penyegaran
- MMA menyeru kepada ketelusan dalam pengagihan semula tenaga kerja doktor untuk menjaga keyakinan awam
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

