Isu sistem, perisian belum stabil: Operasi LRT laluan Shah Alam terpaksa ditunda

Amir (kiri) meninjau operasi ujian tren LRT Stadium Shah Alam ketika sesi lawatan media pada Rabu.
Amir (kiri) meninjau operasi ujian tren LRT Stadium Shah Alam ketika sesi lawatan media pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM – Laluan Transit Aliran Ringan (LRT) Shah Alam tidak akan memulakan operasi tahun ini susulan keperluan menyelesaikan isu kestabilan sistem dan perisian sebelum laluan dibuka kepada orang ramai.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, Amir Hamdan berkata, pihaknya tidak akan membuka laluan tersebut secara tergesa-gesa mengikut tarikh asal yang ditetapkan, sebaliknya mendahulukan aspek keselamatan penumpang.

“Jika pintu tidak terbuka dan penumpang terpaksa turun di stesen seterusnya, sudah tentu ia mencacatkan pengalaman mereka.

“Sebaliknya, kita mahu sistem yang stabil, selamat dan boleh dipercayai,” katanya pada sidang akhbar selepas sesi taklimat media di Stesen LRT Stadium Shah Alam pada Rabu.

Amir memaklumkan, laporan kemajuan projek disampaikan kepada Menteri Pengangkutan setiap minggu, malah kadangkala dua kali seminggu bergantung kepada perkembangan semasa.

Menurutnya, kerajaan juga mahukan projek itu disiapkan secepat mungkin, namun tetap menekankan keutamaan terhadap keselamatan dan kebolehpercayaan operasi.

Beliau menjelaskan bahawa tarikh baharu pembukaan operasi hanya akan diumumkan pada pertengahan Januari tahun depan, selepas kestabilan sistem isyarat dan perisian disahkan sepenuhnya.

Tambahnya, isu seperti pintu tren tidak terbuka, tren berhenti tidak tepat di platform atau gangguan sistem hanya akan muncul selepas tren diuji dalam jarak ribuan kilometer.

“Jika kita uji 100 atau 200 kilometer memang tiada masalah, tetapi apabila mencecah 2,000 atau 4,000 kilometer, barulah masalah ini berlaku sesekali.

Artikel Berkaitan:

“Sebab itu kita perlukan ujian panjang untuk mengumpul data dan mengeluarkan tampalan perisian (software patch),” katanya.

Beliau memaklumkan bahawa sebanyak 22 set tren perlu melepasi ujian larian tanpa gagal (FFR) dan setakat ini satu set tren telah mencapai 4,000 kilometer (dikenali sebagai golden train).

“Tiga lagi set tren telah mencapai 3,000 kilometer manakala 18 set selebihnya sedang menjalani ujian jarak jauh,” katanya.

Prasarana menyasarkan semua ujian dapat diselesaikan menjelang akhir Januari, namun jadual sebenar hanya akan disahkan pertengahan bulan depan.

Dalam pada itu, Amir menjelaskan bahawa sebanyak 33 isu teknikal yang dikenal pasti sepanjang dua bulan lalu telah mempunyai penyelesaian melalui kemas kini perisian. Bagaimanapun, setiap patch masih memerlukan tempoh ujian untuk memastikan keberkesanannya.

Beliau turut memaklumkan bahawa pembekal sistem isyarat, Siemens dan pembuat tren, CRRC, memberi sokongan penuh termasuk bantuan teknikal dari Jerman bagi menyelesaikan isu-isu yang timbul.

“Kos projek kekal seperti kontrak asal kerana ia merupakan kontrak kos tetap sekali gus menafikan dakwaan berlakunya peningkatan kos akibat kelewatan,” katanya.

Ringkasan AI

  • Laluan LRT Shah Alam tidak akan dibuka tahun ini kerana isu kestabilan sistem dan perisian
  • Keutamaan diberikan kepada keselamatan dan kebolehpercayaan operasi penumpang
  • Tarikh baharu operasi akan diumumkan pertengahan Januari tahun depan
  • Sebanyak 22 set tren sedang menjalani ujian untuk memastikan tiada gagal operasi
  • Kos projek kekal seperti kontrak asal walaupun terdapat kelewatan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!