Pempengaruh, suami didakwa simpan haiwan eksotik

KUALA LUMPUR – Pempengaruh media social, Nina Grace dan suaminya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas lima pertuduhan menyimpan tujuh hidupan liar yang dilindungi tanpa lesen, September lalu.
Nina Grace atau nama sebenarnya Nur Nina Farisha Woo Abdullah dan Mohamad Zulaiman Din selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Siti Shakirah Mokhtarudin.
Mengikut semua pertuduhan, mereka yang berusia 28 tahun didakwa bersama-sama menyimpan lima ular jenis ‘Green Tree Python’ (Morelia viridis), ‘Carpet Python’ (Morelia spilota), sawa batik (Python reticulatus), satu iguana (Iguana iguana) dan satu kura-kura Sulcata (Centrochelys sulcata) tanpa lesen.
Semua haiwan itu merupakan hidupan liar yang dilindungi di bawah Jadual Pertama, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Alam Damai, Cheras di sini, pada jam 4.30 petang 20 September lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 60(1) (a) Akta 716 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 60 (1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda RM50,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Mas Izzaty Lokman mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM10,000 bagi semua pertuduhan.
“Termasuk syarat tambahan, mereka perlu melapor diri ke pejabat Perhilitan berhampiran sekali setiap bulan,” katanya.
Bagaimanapun, pasangan itu yang tidak diwakili peguam merayu, kadar jaminan dikurangkan kerana perlu menanggung dua anak yang masih kecil.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Siti Shakirah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 bagi semua pertuduhan dan memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.
Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 8 Januari 2026.
Ringkasan AI
- Nina Grace dan suaminya mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan menyimpan tujuh hidupan liar dilindungi tanpa lesen
- Mereka didakwa menyimpan lima jenis ular, satu iguana dan satu kura-kura Sulcata
- Haiwan tersebut dilindungi di bawah Jadual Pertama, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010
- Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Alam Damai, Cheras
- Pasangan itu diikat jamin sebanyak RM5,000 bagi semua pertuduhan dan perlu melapor diri ke pejabat Perhilitan setiap bulan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

