Pasangan kekasih mengaku tidak bersalah pecah rumah

BUTTERWORTH - Seorang lelaki dan teman wanitanya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan pecah rumah, dua bulan lalu.
Tertuduh, Mohammad Zaini Yusoff, 26, dan Nurul Natasha Mohammad Shukri, 22, membuat pengakuan tersebut selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama-sama dengan seorang lagi yang masih bebas telah melakukan pecah rumah dengan niat untuk mencuri di sebuah kediaman.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Taman Eco Meadows, Bukit Tambun, antara jam 2.30 hingga 5.00 pagi pada 30 September lalu.
Sehubungan itu, mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga lima tahun dan didenda, dan sekiranya perbuatan melibatkan kecurian, boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 14 tahun.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Aini Yahya, tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan bimbang tertuduh akan mengulangi kesalahan yang sama jika diberi jaminan.
“Saya tidak menawarkan sebarang jaminan kerana terdapat risiko tertuduh mengulangi kesalahan tersebut, sekali gus menjejaskan keselamatan dan ketenteraman masyarakat.
“Namun begitu, sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, saya mohon jumlah yang tinggi beserta syarat tambahan,” katanya.
Dalam rayuan, kedua-dua tertuduh yang tidak bekerja memohon agar jaminan minimum diberikan atas alasan perlu menanggung keluarga termasuk ibu bapa.
Mahkamah kemudiannya membenarkan mereka diikat jamin sebanyak RM8,000 setiap seorang, dengan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis terdekat antara jam 7 malam hingga 7 pagi setiap hari.

Sementara itu, Nurul Natasha turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyimpan harta curi iaitu enam utas jam tangan pelbagai jenama bernilai RM20,000 milik Mohamad Danial Syafiq, di ruang solat wanita sebuah kilang di Batu Kawan, pada jam 4.45 petang, 31 Oktober lalu.
Atas pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan tersebut, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan dua orang penjamin.
Hakim Zulhazmi turut menetapkan 14 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi kedua-dua pertuduhan.
Ringkasan AI
- Seorang lelaki dan teman wanitanya didakwa atas pertuduhan pecah rumah di Taman Eco Meadows, Bukit Tambun
- Mereka mengaku tidak bersalah dan dihadapkan di Mahkamah Sesyen Butterworth
- Boleh dihukum penjara sehingga lima tahun dan denda, maksimum 14 tahun jika melibatkan kecurian
- Ditawarkan jamin RM8,000 setiap seorang dengan syarat melapor diri di balai polis setiap hari
- Nurul Natasha juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyimpan harta curi bernilai RM20,000
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

