Kerajaan Pulau Pinang digesa percepat penyediaan RTPP sebelum RSN 2040

Muhammad Fauzi
Muhammad Fauzi
A
A
A

GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang disaran mempercepatkan proses penyediaan Rancangan Tempatan Pulau Pinang (RTPP) sebelum melaksanakan Kajian Semula Rancangan Struktur Negeri (RSN) Pulau Pinang 2040 bagi memastikan perancangan pembangunan dapat dijalankan dengan lebih terperinci dan tersusun.

Ketua Pembangkang, Muhammad Fauzi Yusoff berkata, adalah lebih wajar sekiranya RSN 2040 disiapkan selepas kewujudan RTPP memandangkan dokumen tempatan itu mengandungi maklumat terperinci yang menjadi asas penting kepada pembangunan negeri.

Beliau berkata, sehingga kini RTPP masih belum diwujudkan dan hanya dijangka digazetkan pada suku tahun hadapan.

“Bagaimana kajian RSN 2040 dibuat dahulu sedangkan rancangan tempatan belum ada? Sepatutnya rancangan tempatan disiapkan terlebih dahulu supaya segala data terperinci boleh dijadikan panduan dalam penyediaan RSN.

“Kita tidak mahu timbul kembali isu-isu berbangkit seperti kepadatan penduduk yang menyebabkan banjir, jalan sesak dan sistem saliran yang tidak dinaik taraf,” katanya selepas menghadiri Majlis Perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Laporan Tinjauan RSN Pulau Pinang 2040 (Kajian Semula) di Komtar pada Selasa.

Majlis dirasmikan Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa, H'ng Mooi Lye.

Muhammad Fauzi berkata, pihaknya di peringkat kawasan sering berdepan rungutan masyarakat apabila pembangunan tidak seimbang menyebabkan masalah seperti parkir tidak mencukupi, sungai tidak dinaik taraf dan parit tersumbat sehingga mengundang banjir kilat.

Dalam masa sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua itu turut menekankan kepentingan penglibatan kumpulan ketiga iaitu pakar bebas dalam proses kajian RSN 2040 bagi memastikan penilaian yang dibuat adalah telus dan profesional.

“Pandangan pakar sangat diperlukan untuk memberi taklimat, menilai cadangan dan menyampaikan pandangan objektif kepada Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) dan kerajaan negeri. Proses ini penting supaya perancangan dapat berjalan lancar.

Artikel Berkaitan:

“Kita semua mahukan Pulau Pinang menjadi negeri yang maju dan teratur, namun jika langkah perancangan tidak dibuat dengan betul, kita akan terus berdepan masalah yang sama,” katanya.

Beliau berharap kerajaan negeri memberi perhatian serius terhadap keperluan menyelaraskan RSN 2040 dengan RTPP yang bakal digazetkan sekali gus memastikan pembangunan masa depan lebih mampan dan berpaksikan data tepat.

Mooi Lye (kiri) meneliti draf RSN Pulau Pinang 2040 di Komtar pada Selasa.
Mooi Lye (kiri) meneliti draf RSN Pulau Pinang 2040 di Komtar pada Selasa.

Sementara itu, Mooi Lye berkata, kerajaan negeri membuka ruang kepada orang awam untuk mengemukakan pandangan, cadangan atau bantahan sepanjang tempoh publisiti yang berlangsung sehingga 23 Disember ini.

"Orang ramai boleh menghadiri pameran RSN 2040 yang diadakan di empat lokasi iaitu tingkat 57 Komtar, Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Majlis Bandaraya Seberang Perai atau memberikan maklum balas melalui kod QR disediakan.

"Selepas tempoh publisiti, sesi pendengaran akan dijalankan dalam tempoh sebulan sebelum laporan dimuktamadkan. Kita sasarkan kajian ini dapat diwartakan pada suku ketiga tahun depan,” katanya.

Tambahnya, kerajaan Pulau Pinang sedang meneliti semula dasar pembangunan di kawasan melebihi paras 76 meter menerusi Kajian Semula RSN Pulau Pinang 2040 bagi memastikan perancangan masa depan lebih inklusif, komprehensif dan seimbang antara pembangunan serta pemeliharaan alam sekitar.

Menurutnya, kajian semula itu dibuat berikutan kekangan mendapatkan tanah sesuai untuk pembangunan kerana banyak kawasan di Pulau Pinang dikategorikan sebagai kawasan sensitif alam sekitar.

"Dasar ketinggian 76 meter yang sebelum ini menjadi had pembangunan akan dikaji semula bagi melihat sama ada pembangunan boleh dibenarkan pada paras lebih tinggi, bergantung kepada keadaan tapak dan penilaian teknikal.

“Sebagai contoh, jika platform sesuatu kawasan itu rata tetapi berada pada kedudukan 80 meter dari paras laut, ia sebelum ini tidak dibenarkan. Namun melalui kajian semula ini, kita akan mendapatkan pandangan kumpulan teknikal untuk menentukan kelas dan tahap pembangunan yang sesuai,” katanya.

Beliau berkata, RSN 2040 merupakan kajian semula kepada RSN 2030 memandangkan Pulau Pinang memerlukan dasar baharu yang mengambil kira perubahan semasa dan keperluan 10 tahun akan datang.

Ringkasan AI

  • Kerajaan Pulau Pinang disaran mempercepat proses RTPP sebelum melaksanakan Kajian Semula RSN Pulau Pinang 2040
  • Muhammad Fauzi Yusoff menekankan pentingnya RTPP untuk pembangunan teratur negeri
  • RTPP masih belum digazetkan dan diharapkan siap pada suku tahun hadapan
  • Kepentingan penglibatan pakar bebas dalam proses kajian RSN 2040 untuk pandangan objektif
  • Kerajaan negeri membuka ruang kepada orang awam untuk memberi pandangan mengenai RSN 2040 hingga 23 Disember

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!