MUDA gesa Pulau Pinang lebih proaktif promosi pelancongan

GEORGE TOWN - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Pulau Pinang mempersoalkan komitmen kerajaan negeri dalam usaha mempromosikan sektor pelancongan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 apabila sehingga kini tiada gerak kerja agresif yang ditonjolkan.
Pengerusinya, Andika Putera berkata, meskipun sudah memasuki minggu kedua Disember, promosi pelancongan peringkat negeri dilihat masih lesu dan tidak mencerminkan kesungguhan untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai destinasi utama pelancong antarabangsa.
Menurutnya, Pulau Pinang yang kaya dengan sejarah, warisan budaya dan diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO itu sepatutnya berada di barisan hadapan dalam agenda pelancongan negara.

"Namun sehingga kini, pelan tindakan Exco Pelancongan negeri masih kabur dan tiada kempen berskala besar atau strategi pemasaran agresif yang dapat dilihat," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, lebih mengecewakan apabila pembukaan Pusat Arkeologi Guar Kepah yang sebelum ini dijangka beroperasi pada suku ketiga tahun ini masih tidak menunjukkan perkembangan.
Beliau berkata, kini sudah masuk Disember, namun masih tiada pengumuman rasmi mengenai tarikh pembukaannya.
"Sedangkan pusat itu sepatutnya menjadi tarikan pelancongan baharu yang penting kepada rakyat negeri ini dan pelancong dalam serta luar negara," katanya lagi.

Beliau turut mendedahkan trend tempahan hotel di Pulau Pinang bagi awal tahun 2026 tidak menunjukkan peningkatan ketara, sekali gus membuktikan promosi pelancongan sedia ada gagal menarik keyakinan pasaran.
"Apakah pelan sebenar Exco Pelancongan Negeri? Adakah sekadar melontarkan slogan tanpa pelaksanaan konkrit? Pulau Pinang mempunyai potensi besar namun tanpa tindakan efektif, ia hanya tinggal retorik," katanya.
Beliau menegaskan bahawa industri pelancongan merupakan tulang belakang ekonomi negeri dan kelalaian kerajaan negeri boleh menyebabkan Pulau Pinang tercicir dalam sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Sehubungan itu, MUDA Pulau Pinang mendesak agar kerajaan negeri dan Exco Pelancongan memberi perhatian serius terhadap pembangunan ekonomi industri pelancongan agar kegagalan tidak berulang.
Ringkasan AI
- Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Pulau Pinang mempersoalkan komitmen kerajaan negeri dalam mempromosikan sektor pelancongan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026
- Promosi pelancongan di Pulau Pinang dilihat masih lesu dan tidak mencerminkan kesungguhan
- Pulau Pinang yang dikenali dengan sejarah dan warisan budaya sepatutnya berada di barisan hadapan agenda pelancongan negara
- Pelan tindakan EXCO Pelancongan negeri masih kabur dan tiada kempen promosi berskala besar
- Trend tempahan hotel di Pulau Pinang bagi awal tahun 2026 tidak menunjukkan peningkatan, menandakan promosi pelancongan gagal menarik minat pasaran
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

