Amaran tsunami ditarik balik beberapa jam selepas gempa magnitud 7.5 landa Jepun

TOKYO - Agensi cuaca Jepun menarik balik amaran tsunami bagi kawasan pantai wilayah Aomori, Iwate dan Hokkaido awal Selasa, beberapa jam selepas gempa bumi bermagnitud awal 7.5 melanda timur laut negara itu, lapor Xinhua.
Gegaran kuat itu berlaku pada 11.15 malam waktu tempatan pada Isnin, di luar pantai Pasifik Aomori pada kedalaman 54 kilometer, dan mencatatkan intensiti enam atas pada skala seismik Jepun tujuh mata di beberapa kawasan di Aomori, menurut Agensi Meteorologi Jepun (JMA).
Kira-kira tiga jam setengah selepas gempa melanda, amaran tsunami diturunkan kepada nasihat keselamatan.
Pada 6.20 pagi waktu tempatan Selasa, semua nasihat tsunami bagi kawasan pesisir Pasifik telah ditarik balik.
JMA, yang menyemak magnitud gempa daripada 7.6 kepada 7.5, memberi amaran kemungkinan tsunami setinggi sehingga tiga meter selepas gegaran itu. Tsunami tertinggi yang dicatatkan ialah kira-kira 70 sentimeter di Pelabuhan Kuji di wilayah Iwate.
Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi berkata pada Selasa bahawa 30 orang cedera dalam gempa kuat itu, sambil memberi amaran kemungkinan berlaku satu lagi gempa dengan magnitud sama atau lebih kuat di kawasan pesisir Pasifik.
Agensi cuaca itu turut mengeluarkan amaran kemungkinan gempa besar susulan gempa Isnin, dengan menyatakan terdapat kemungkinan satu dalam 100 bahawa gempa bermagnitud 8 atau lebih besar boleh berlaku dalam tempoh tujuh hari.
Pejabat Kabinet menyeru orang ramai supaya mengekalkan kesiapsiagaan khas sekurang-kurangnya selama seminggu, termasuk memastikan kit bekalan kecemasan mudah dicapai sekiranya perlu berpindah pada bila-bila masa.
Kedutaan China di Jepun mengeluarkan notis awal Selasa, menggesa rakyat China di negara itu supaya berwaspada dan memantau maklumat terkini mengenai gempa bumi, amaran cuaca dan maklumat pencegahan bencana.
Di Aomori dan Hokkaido, lebih 10 kecederaan dilaporkan, termasuk sekurang-kurangnya satu kes serius di Hidaka, Hokkaido, dengan tiada kematian setakat ini.
Kerajaan wilayah Aomori berkata, kira-kira 2,700 rumah mengalami gangguan bekalan elektrik, lapor Kyodo News.
Tiada keabnormalan dilaporkan di loji tenaga nuklear di Hokkaido atau wilayah timur laut Aomori, Miyagi dan Fukushima, menurut laporan itu.
Perkhidmatan kereta api laju Tohoku Shinkansen dihentikan antara stesen Fukushima dan Shin-Aomori, menurut operator JR East.
Sebuah kereta api laju yang membawa 94 penumpang turut terkandas seketika di Aomori. Bernama-Xinhua
Ringkasan AI
- Agensi cuaca Jepun menarik balik amaran tsunami untuk wilayah Aomori, Iwate dan Hokkaido selepas gempa magnitud 7.5
- Gempa berpusat di luar pantai Pasifik Aomori dengan kedalaman 54 kilometer
- Amaran tsunami diturunkan kepada nasihat keselamatan dan semua nasihat tsunami ditarik balik pada pagi Selasa
- Tsunami tertinggi yang dicatatkan ialah kira-kira 70 sentimeter di Pelabuhan Kuji, Iwate
- Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi mengumumkan 30 orang cedera dan memberi amaran potensi gempa kuat susulan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
