'Kita tak mahu lihat kecuaian birokrasi berulang' - Mohd Fakhrul

KUANTAN – Pemuda UMNO Bahagian Pekan menyokong penuh inisiatif penubuhan Ombudsman Malaysia yang dijangka dibentangkan di Parlimen pada awal 2026.
Ketuanya, Mohd Fakhrul Akhmal Mohamed berkata, ia bukanlah perkara baharu dalam sektor awam di Malaysia dan konsep seumpama itu pernah ditubuhkan sekitar 1971 dengan nama Public Complaints Bureau atau Biro Pengaduan Awam.
"Pada awal Januari tahun ini, saya ada menyebut tentang pentingnya penubuhan Ombudsman Malaysia, sebagai reaksi terhadap kemelut Titah Addendum.
"Alhamdulillah semalam (Isnin), Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyatakan komitmen serius melalui kenyataan hasrat (‘intent statement’) berkenaan penubuhan Ombudsman Malaysia," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Pada Isnin, Anwar dilaporkan berkata bahawa kerajaan akan menubuhkan Ombudsman Malaysia sebagai agensi pusat untuk mengurus dan menyelesaikan aduan awam dengan mandat yang lebih menyeluruh, merangkumi isu salah tadbir, salah laku, perlindungan pemberi maklumat dan kebebasan maklumat.
Menurutnya, penubuhan Ombudsman Malaysia menzahirkan komitmen Kerajaan Madani untuk memperkukuh hak rakyat serta memelihara integriti sektor awam, dan Rang Undang-Undang Ombudsman Malaysia dijadualkan dibentangkan pada awal 2026.
Mengulas lanjut, Mohd Fakhrul berkata, rakyat Malaysia berharap penubuhan Ombudsman ini dapat memastikan insiden Titah Addendum melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak tidak berulang kepada orang lain.
“Ombudsman Malaysia bukan tentang mencari kesalahan tadbir urus awam. Inisiatif ini perlu dipandang sebagai satu bentuk ‘citizen smart partnership’ dalam usaha memastikan perkembangan tadbir urus negara seiring dengan jangkaan semasa rakyat.
"Pastinya kita tidak mahu lagi melihat sebarang kecuaian birokrasi berulang," jelasnya.
Beliau menambah bahawa penubuhan Ombudsman ini diharap dapat mengelakkan sebarang kecuaian birokrasi termasuk isu pengurusan dan dokumentasi yang sepatutnya boleh diselesaikan di peringkat pentadbiran tanpa berlarutan hingga ke mahkamah.
“Inisiatif ini juga bertujuan mengisi ruang penambahbaikan dan ketidakseragaman dalam sektor awam supaya pengurusan undang-undang di Malaysia terus berkembang dengan disiplin integriti,” jelas beliau.
Ringkasan AI
- Pemuda UMNO Bahagian Pekan menyokong penubuhan Ombudsman Malaysia yang akan dibentangkan di Parlimen pada 2026
- Konsep Ombudsman bukan baharu di Malaysia, mirip dengan Public Complaints Bureau yang ditubuhkan sekitar 1971
- Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyatakan penubuhan Ombudsman untuk mengurus aduan awam dan melindungi integriti sektor awam
- Penubuhan Ombudsman menunjukkan komitmen Kerajaan Madani memperkukuh hak rakyat dan memelihara integriti sektor awam
- Ombudsman diharap dapat mengelak kecuaian birokrasi dan memperbaiki pengurusan undang-undang serta integriti di Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

