'Cadangan Nurul Izzah tambah birokrasi, baik tumpu manifesto PH' - Ahmad Fadhli

Ahmad Fadhli membuat hantaran di Facebook pada Selasa.
Ahmad Fadhli membuat hantaran di Facebook pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Cadangan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar mengenai penubuhan jawatankuasa bebas bagi memantau tindakan penguatkuasaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disifatkan hanya akan menambahkan birokrasi serta prosedur yang tidak perlu.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, saranan supaya jawatankuasa berkenaan melapor terus kepada Parlimen itu bukan sahaja sukar untuk dilaksanakan malah diyakini tidak akan direalisasikan oleh kerajaan semasa.

“Cadangan Timbalan Presiden PKR ini hanya akan berlalu begitu sahaja. Adalah lebih baik menumpukan dahulu kepada pelaksanaan manifesto Pakatan Harapan (PH) sendiri yang menyatakan bahawa pencalonan Ketua Pesuruhjaya SPRM perlu disemak oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang dwipartisan.

“Langkah ini bagi menjamin pelantikan calon yang neutral tanpa tujuan melindungi kepentingan pihak tertentu,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Sebelum ini, media melaporkan Nurul Izzah menggesa kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Pengawasan Bebas yang melapor terus kepada Parlimen bagi memperkukuh akauntabiliti serta memulihkan keyakinan rakyat terhadap kerangka antirasuah negara.

Nurul Izzah mengakui usaha membanteras rasuah di bawah pentadbiran Madani lebih aktif berbanding era sebelumnya, namun menegaskan aktiviti semata-mata tidak semestinya menjamin akauntabiliti.

Mengula lanjut Ahmad Fadhli berkata, cadangan baharu itu diragui akan direalisasikan, dengan mendakwa kerajaan masih bergantung kepada sokongan individu tertentu yang memiliki kekayaan luar biasa.

“Ini juga tidak akan dilaksanakan kerana kerajaan masih bergantung kepada ‘talian hayat’ individu yang tiba-tiba menjadi kaya secara luar biasa,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Cadangan Nurul Izzah tentang jawatankuasa bebas bagi SPRM disifatkan akan menambah birokrasi
  • Saranan supaya jawatankuasa tersebut melapor kepada Parlimen sukar direalisasi
  • Lebih baik fokus kepada pelaksanaan manifesto Pakatan Harapan terkait pencalonan Ketua Pesuruhjaya SPRM
  • Nurul Izzah menggesa penubuhan Jawatankuasa Pengawasan Bebas untuk memperkuat akauntabiliti
  • Cadangan tersebut diragui akan direalisasi kerana kerajaan bergantung kepada sokongan individu dengan kekayaan luar biasa

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!