Misteri dalang sebenar

Walaupun FAM sendiri mengakui manipulasi tersebut dilakukan oleh individu dalam organisasi itu, tiada seorang pun yang dinamakan sebagai individu yang bersalah. Gambar hiasan
Walaupun FAM sendiri mengakui manipulasi tersebut dilakukan oleh individu dalam organisasi itu, tiada seorang pun yang dinamakan sebagai individu yang bersalah. Gambar hiasan
A
A
A

LANGKAH mahu membawa kes tujuh pemain warisan negara ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) berhubung isu pemalsuan dokumen dilihat bukanlah percaturan paling bijak, malah boleh dianggap sebagai tindakan kurang cermat masa ini.

Sebaliknya, segala tumpuan, tenaga dan sumber kewangan yang ada seharusnya digerakkan sepenuhnya untuk memburu dan menghukum ‘dalang’ atau petualang sebenar di sebalik jenayah pemalsuan ini.

Umum menyedari bahawa membawa kes ke CAS bukanlah percuma. Ia melibatkan kos guaman dan pentadbiran yang sangat tinggi, mampu mencecah ribuan, malah ratusan ribu ringgit.

Persoalan utama yang perlu dijawab secara jujur, adakah kita mempunyai asas yang cukup kukuh untuk mencabar keputusan tersebut?

CAS beroperasi berdasarkan fakta dan bukti teknikal. Jika asas pertuduhan adalah dokumen palsu dan siasatan forensik telah membuktikannya, tiada peguam terhebat di dunia pun yang mampu ‘memutihkan’ kesalahan tersebut di mata undang-undang sukan antarabangsa.

Jika kita berdegil ke CAS semata-mata untuk menegakkan benang yang basah, ia bakal memalukan lagi imej negara di pentas antarabangsa.

Kita akan dilihat sebagai badan induk yang cuba ‘menghalalkan’ penipuan dan bukannya membetulkan kesilapan.

Walaupun Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sudah mendedahkan segalanya dengan terperinci, termasuk bukti bahawa dokumen pemain telah diubah suai sebelum dihantar ke Zurich, sehingga hari ini dalang sebenar di sebalik skandal memalukan itu masih belum dikenal pasti secara rasmi.

Laporan Motivated Decision setebal 63 muka surat yang dikeluarkan FIFA merupakan dokumen paling jelas membuktikan wujudnya penyelewengan terhadap dokumen rasmi tersebut.

Artikel Berkaitan:

Dalam alasan bertulis itulah FIFA turut mendedahkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melalui Setiausaha Agungnya, Datuk Noor Azman Rahman mengakui pegawai pentadbiran mereka terlibat dalam menyunting dan ‘memformat’ salinan dokumen tersebut.

Lebih membingungkan, walaupun FAM sendiri mengakui manipulasi tersebut dilakukan oleh individu dalam organisasi itu, tiada seorang pun yang dinamakan sebagai individu yang bersalah.

Kegagalan mengheret dalang ke muka pengadilan menimbulkan persoalan lebih besar mengenai budaya tadbir urus dan integriti dalam badan induk bola sepak negara.

Jika benar ada individu dalam organisasi melakukan manipulasi itu, mengapa masih tiada tindakan disiplin, pendakwaan atau pendedahan identiti?

Pemain mungkin menjadi mangsa keadaan atau mungkin juga tidak ambil peduli tentang dokumen yang mereka serahkan.

Namun, siapakah yang terlibat sehingga dokumen tersebut boleh dipalsukan ke tahap ini?

Inilah persoalan yang jauh lebih kritikal daripada turun naik mahkamah di Eropah dan menghukum dalang ini akan menghantar mesej yang jelas bahawa sukan negara tidak akan berkompromi dengan penipuan.

Yang lebih menakutkan skandal ini merupakan isu jenayah yang cukup besar.

Memalsukan dokumen kerakyatan seperti sijil lahir atau pasport bukan kesalahan kecil.

Ia jenayah berat dalam mana-mana negara termasuk Malaysia.

Apabila FIFA membuktikan wujudnya manipulasi dokumen membabitkan negara asal pemain seperti Brazil, Argentina, Belanda dan Sepanyol, kes ini secara automatik keluar daripada ruang lingkup sukan dan menyentuh isu undang-undang antarabangsa.

Malah, tindakan FIFA yang akan melakukan siasatan terhadap operasi dalaman FAM membuktikan betapa seriusnya isu ini.

Sama ada kita mahu atau tidak, nama Malaysia kini sudah tercalit dalam laporan antarabangsa dan reputasi tercalar teruk.

Apa yang lebih dikesali, ketika negara luar digesa jalankan siasatan terhadap dokumen pemain mereka, Malaysia sendiri belum menunjukkan kesungguhan setara.

Adakah kita menunggu negara lain mengambil tindakan undang-undang sebelum kita bertindak terhadap kesalahan berlaku dalam tanah air sendiri?

Sewajarnya, fokus utama bukanlah menunggu keputusan CAS tetapi memburu dalang, membersihkan sistem dan memulihkan integriti bola sepak negara.

*Muhammad Zakwan Nazaraly ialah wartawan Sukan Sinar

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!