Sebar tanpa fikir

A
A
A

Apabila disebut istilah ‘tanpa fikir’, sudah tentu kita boleh bayangkan apa akan terjadi kepada kita semua. Individu ‘tanpa fikir’ sudah tentu melakukan banyak perkara mudarat berbanding manfaat. Apa yang jelas, sifat tidak rasional, tidak waras, menyusahkan serta huru-hara akan timbul dengan berleluasanya gejala ‘tanpa fikir’.

Orang ‘tanpa fikir’ ini bukannya dalam kelompok orang yang lemah capaian akal semata-mata, namun terdiri daripada golongan yang cerdik dan berpelajaran tinggi belaka. Justeru, kenapa mereka suka bertindak ‘tanpa fikir’. Jawapan yang mudah kerana mereka hanya cerdik tetapi tidak bijaksana.

Apabila bercakap soal cerdik, menurut Pak Hamka dalam bukunya Peribadi Hebat: “Banyak orang yang pintar dan banyak buah fikirannya, tetapi tidak cepat menangkap fikiran dan mengetahui tujuan orang lain serta tidak cepat mengerti. Orang seperti itu bukan orang yang cerdik walaupun banyak pengetahuannya. Peribadinya tidak menarik, bahkan membosankan.”

Menurut Pak Hamka lagi, “Orang yang bijaksana adalah tepat pendapatnya, jauh pandangannya dan baik tafsirnya. Dia dapat memilih mana yang benar dan mana yang salah, memilih mana yang patut dikerjakan dan mana yang patut ditinggalkan, tidak berudang di balik batu dan adil. Justeru, mereka tidak membenarkan perkara dusta, tidak meluruskan barang yang bengkok dan tidak memasuki perkara yang bukan keahliannya.”

Berkaitan hal ini, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 Mac yang lalu sehinggalah dilanjutkan kepada 14 April 2020, walaupun berlaku penurunan yang ketara dari segi peratusan jenayah dan kemalangan jalan raya, namun penyebaran berita-berita palsu semakin meningkat. Sehinggakan hampir setiap hari pihak Majlis Keselamatan Negara Malaysia mengeluarkan beberapa penafian berkaitan berita-berita tersebut.

Kebanyakan penafian tersebut melibatkan agensi-agensi kerajaan dan berkepentingan kepada negara. Namun berita-berita palsu yang bertebaran dalam media sosial adalah beribu-ribuan lagi. Adalah jelas, kesemua perbuatan tersebut dilakukan tanpa fikir dan menyusahkan serta membahayakan negara.

Sebetulnya, kesemua sebaran maklumat palsu itu tidak akan berlaku tanpa niat. Pada hemat saya, terdapat lima niat mengapa mereka melakukan perbuatan tersebut. Pertama, mereka sememangnya berniat jahat dan sengaja untuk menimbulkan huru-hara kepada negara.

Kedua, mereka dengan niat untuk menunjukkan dia tahu banyak perkara dan seboleh mungkin ingin menjadi orang yang terawal menyebarkan berita tersebut. Apa yang penting sebar dahulu walaupun tidak sahih.

Ketiga, mereka sebar kerana kononnya ingin mendapatkan kepastian dengan rakan-rakan yang lain sama ada berita tersebut benar atau tidak.

Keempat, mereka sebar berita berkenaan kerana patuh kepada arahan ‘sila tularkan’ oleh rakan-rakan yang lain walaupun tidak pasti kebenarannya dan kelima mereka sebar berita berkenaan kerana saja-saja hendak kongsi maklumat tersebut walaupun tidak pasti kesahihannya. Pun begitu, kesemua niat tersebut adalah salah dan perlu menerima hukuman yang sewajarnya.

Hakikatnya, natijah sebaran palsu inilah ramai yang malu dan bersedih, ramai yang marah dan tidak senang duduk serta ramai yang terpaksa habiskan masa dan tenaga untuk perbetulkan semula yang batil.

Menurut pakar-pakar psikologi, bagi memastikan seseorang itu berfikir dengan rasional, kita tidak boleh mempercayai semua perkara yang masuk ke dalam otak kita. Ini kerana tidak semua perkara tersebut betul dan tidak semuanya boleh membantu diri kita.

Justeru, kita harus sentiasa waspada untuk menilai sama ada berita tersebut palsu atau tidak. Ini bermakna, kita perlu menapis serta tabayyun dahulu semua perkhabaran sebelum memberikan reaksi.

Artikel Berkaitan:

Ingatlah, segala pelanggaran perintah ALLAH bermakna kita telah kufur atas segala nikmat yang telah diberikan selama ini. Jadilah firman ALLAH ini sebagai panduan, “Dan (berhubung dengan kaum yang kufur ingkar) ALLAH memberikan satu contoh sebuah negeri yang aman damai dan tenteram, yang didatangi rezekinya yang mewah dari tiap-tiap tempat, kemudian penduduknya kufur akan nikmat-nikmat ALLAH itu, maka ALLAH merasakannya kelaparan dan ketakutan yang meliputi keseluruhannya disebabkan apa yang mereka telah lakukan.” (Surah An-Nahl, 16:112). Insaflah.

Sebetulnya, kesemua sebaran maklumat palsu itu tidak akan berlaku tanpa niat.”

* Prof Madya Dr Huzili Hussin ialah Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan & Teknokomunikasi Universiti Malaysia Perlis