Trek joging Taman Gelora rosak akibat air pasang besar

KUANTAN – Fenomena air pasang besar yang melanda pada malam Ahad menyebabkan kerosakan pada trek joging di Taman Gelora, sekali gus menimbulkan ketidakselesaan dan kebimbangan dalam kalangan pengguna kawasan riadah tersebut.
Tinjauan Sinar Harian mendapati kerosakan pada laluan joging sepanjang kira-kira 200 hingga 300 meter, terutama pada bahagian penghujung trek berhampiran Kelab Golf Diraja Kuantan yang terletak bersebelahan pantai.

Fenomena air pasang besar itu berlaku antara jam 10 malam hingga 2 pagi dengan paras air dilaporkan mencecah 2.8 hingga 3.8 meter.
Pengunjung, Zainal Muhammad Ali, 58, berkata, kedudukan trek yang sangat dekat dengan pantai, hanya sekitar 20 hingga 50 meter menjadikan kawasan itu terdedah kepada hakisan.
Menurutnya, situasi itu menimbulkan rasa tidak selesa dan sedikit berbahaya apabila laluan dipenuhi pasir.
“Ini bukan kali pertama trek ini dihentam ombak, tetapi kali ini kesannya lebih teruk. Kami terpaksa lebih berhati-hati ketika menggunakan laluan ini kerana bimbang tersalah langkah dan boleh mencederakan diri,” katanya ketika ditemui di Taman Gelora pada Isnin.

Bagi suri rumah, Siti Raiham Mat Samit, 40, kerosakan itu menjejaskan rutin hariannya bersama dua anak yang kebiasaannya datang bersenam setiap pagi.
Beliau berkata, trek yang sebelum ini rata dan selesa kini dipenuhi pasir, lubang serta serpihan konkrit sekali gus menjadikan aktiviti riadah lebih berisiko.
“Biasanya saya dan anak-anak datang untuk berjoging atau berjalan kaki, tapi sekarang keadaan yang berlubang dan dipenuhi pasir membuatkan langkah kami lebih perlahan.
"Memang menakutkan jika ada yang tersalah langkah, terutamanya anak-anak yang selalu ikut bersama, tapi apa boleh buat semua ini berlaku disebabkan fenomena alam," jelasnya.

Seorang lagi pengguna, Kah Long Sei, 35, berharap pihak berkuasa mengambil tindakan segera sebelum kerosakan menjadi lebih teruk.
“Saya bimbang kerosakan ini akan merebak jika terus terdedah kepada air pasang pada masa akan datang. Jika dibiarkan, ia boleh melumpuhkan sebahagian laluan riadah utama Taman Gelora,” katanya.
Sementara itu, Ketua Bahagian Perhubungan Awam dan Korporat Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Nor Hayatul Huda Othman berkata, pihaknya telah menutup laluan terlibat dan meletakkan papan tanda amaran sebagai langkah keselamatan susulan kejadian hakisan dan mendapan di kawasan tersebut.

Jelasnya, beberapa langkah pencegahan turut dijalankan termasuk pemantauan berkala dan pemasangan penghadang sementara.
"Kerja pembaikan akan dimulakan selepas Monsun Timur Laut berakhir kerana hujan lebat dijangka berterusan hingga Januari 2026.
"Orang awam diminta mematuhi arahan keselamatan, mengelakkan kawasan ditutup dan segera melaporkan sebarang keadaan berisiko,” katanya.
Ringkasan AI
- Fenomena air pasang besar melanda pada malam Ahad menyebabkan kerusakan pada trek joging di Taman Gelora
- Kerosakan terjadi sepanjang kira-kira 200 hingga 300 meter, berdekatan dengan pantai
- Air pasang besar berlaku antara jam 10 malam hingga 2 pagi dengan paras air mencecah 2.8 hingga 3.8 meter
- Pengguna merasa tidak selesa dan berbahaya kerana laluan dipenuhi pasir dan lubang
- Majlis Bandaraya Kuantan telah menutup laluan terlibat dan meletakkan papan tanda amaran sebagai langkah keselamatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

