Pengimbas logam, sekat pelajar bawa telefon bimbit ke sekolah

Rahmad.
Rahmad.
A
A
A

MELAKA - Pemeriksaan mengejut selain penggunaan peralatan pengimbas logam antara langkah dilaksanakan di negeri ini dalam memperketatkan larangan pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, peraturan baharu itu merupakan 13 ketetapan baharu kerajaan negeri bagi memastikan pematuhan disiplin dalam kalangan pelajar, khususnya pelajar sekolah menengah.

“Kalau di sekolah rendah, kebiasaannya mereka patuh kepada arahan, tetapi di sekolah menengah anak-anak ini sedang meningkat dewasa dan kadang-kadang sukar mengikut peraturan.

“Salah satu kesalahan paling kerap ialah membawa telefon bimbit ke sekolah yang sememangnya tidak dibenarkan. Sebab itu kita minta semua sekolah menengah membuat pemeriksaan mengejut, termasuk pemeriksaan badan secara ‘scanning’ menggunakan pengimbas logam,” katanya pada sidang akhbar sempena Sidang Dewan Undangan Negeri Melaka Ke-15 di Seri Negeri pada Isnin.

Beliau berkata, setakat ini sebanyak 43 daripada 80 sekolah menengah di Melaka telah melaksanakan pemeriksaan menggunakan pengimbas logam manakala selebihnya akan berbuat demikian dalam masa terdekat.

“Sekurang-kurangnya setiap sekolah perlu mempunyai dua unit alat tersebut. Kosnya tidak mahal dan sekolah mampu beli. Jika tidak mampu, jabatan juga boleh bantu.

“Selain itu, kerajaan negeri bersama pelbagai agensi termasuk PDRM dan Jabatan Agama Islam Melaka turut mengadakan pemeriksaan mengejut serta melaksanakan program anti-buli seperti Program GERAH (Anti-Buli Murid Asrama),” katanya.

Menurut beliau, pelajar dan ibu bapa turut digalakkan membuat aduan melalui WhatsApp Anti-Buli (014-800 9325), sistem aduan SISPa Kementerian Pendidikan, e-mel aduanbuli@moe.gov.my, dan peti aduan yang disediakan di setiap sekolah.

“Kita letakkan peti aduan di setiap sekolah supaya murid-murid boleh membuat aduan tanpa pengetahuan orang lain.

Artikel Berkaitan:

“Disebabkan adanya peti aduan ini, kita melihat ada peningkatan kes buli. Namun, peningkatan itu bukan kerana kes buli bertambah tetapi kerana pelajar kini berani membuat aduan yang sebelum ini tidak dilaporkan,” jelasnya.

Rahmad turut memaklumkan bahawa Melaka akan menjadi negeri pertama mengadakan konvensyen dan bengkel sebagai usaha merangka resolusi baharu menangani isu disiplin pelajar pada 12 dan 13 Disember yang turut melibatkan semua pengarah pendidikan negeri-negeri.

Ringkasan AI

  • Pemeriksaan mengejut dan penggunaan pengimbas logam dilaksanakan di Melaka untuk mengawal pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah
  • Datuk Rahmad Mariman menyatakan inisiatif ini sebagai sebahagian dari 13 ketetapan baru untuk memastikan pematuhan disiplin pelajar sekolah menengah
  • Sekolah menengah diperintahkan melakukan pemeriksaan mengejut termasuk pengimbasan badan untuk mengesan telefon bimbit
  • Sebanyak 43 sekolah menengah di Melaka sudah melaksanakan pemeriksaan menggunakan pengimbas logam
  • Pelajar dan ibu bapa digalakkan menggunakan pelbagai saluran untuk membuat aduan mengenai isu buli

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!