Pura-pura jadi pelanggan sebelum larikan tiga telefon bimbit

KUANTAN - Polis sedang memburu seorang lelaki dipercayai warga asing yang terlibat melarikan tiga telefon bimbit jenama terkenal di sebuah kedai telefon dalam sebuah pusat beli belah di sini, pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8.45 malam itu melibatkan kerugian RM8,000.
Menurutnya, siasatan mendapati, suspek berjaket dan memakai pelitup muka datang ke kedai telefon itu berpura-pura sebagai pelanggan.
"Lelaki itu kemudiannya bertindak melarikan tiga telefon bimbit yang dipamerkan.
"Jurujual bertugas bertindak mengejar namun gagal apabila suspek berjaya melarikan diri," katanya melalui kenyataan pada Sabtu.
Ashari berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri dalam bangunan.
Beliau berkata, polis telah memperoleh rakaman kamera litar tertutupn(CCTV) di lokasi kejadian dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di talian 09-5652222 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.
Tambah beliau, para peniaga juga dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan memastikan tahap keselamatan di premis masing-masing dalam keadaan baik.
Kejadian itu sebelum ini tular di laman sosial selepas bukti rakaman CCTV dikongsi netizen.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

