Pelajar maut tak sempat elak van keluar simpang mengejut

Keadaan motosikal dan van yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Cermai 17, Taman Suria, Kluang pada Isnin. - Foto: IPD Kluang
Keadaan motosikal dan van yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Cermai 17, Taman Suria, Kluang pada Isnin. - Foto: IPD Kluang
A
A
A

KLUANG – Gara-gara tidak sempat mengelak kenderaan yang keluar simpang secara mengejut, seorang pelajar sekolah maut apabila motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah van di Jalan Cermai 17, Taman Suria, Kluang, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan yang melibatkan sebuah motosikal jenis Honda ANF125MR ditunggang pelajar lelaki berusia 15 tahun dengan sebuah van jenis Toyota Hiace dipandu lelaki berusia 68 tahun.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada jam 7.20 malam Isnin apabila pelajar terbabit menunggang motosikal dari arah Taman Seri Suria menghala ke Jalan Haji Manan manakala van dalam perjalanan menghala ke Jalan Cermai 17, Taman Suria.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, penunggang motosikal tidak sempat mengelak lalu melanggar van yang memasuki simpang di sebelah kiri secara tiba-tiba.

“Akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan manakala pemandu van tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Sementara itu, Bahrin berkata, susulan kemalangan itu, polis telah menahan pemandu van terbabit untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Hasil siasatan bagaimanapun mendapati pemandu van tersebut tidak memiliki rekod lampau dan ujian air kencingnya juga didapati negatif,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!