Tiada kesan brek, SUV terjunam terus ke dalam gaung - Polis

HULU TERENGGANU – Tiada kesan brek ditemui di lokasi kemalangan membabitkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang terjunam ke dalam gaung dalam kejadian di Kilometer 52 Jalan Kuala Jeneris – Sungai Gawi – Aring (Bukit Kawah) pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, kenderaan itu dipercayai dipandu terus menghala ke kawasan jalan terputus sebelum terjatuh sedalam 61 meter.
Menurutnya, siasatan awal mendapati SUV tersebut bergerak ke arah laluan yang sebelum ini ditutup akibat insiden tanah runtuh tahun lalu.
Jelas beliau, hasil pemeriksaan di lokasi kejadian juga mendapati kelajuan kenderaan tidak tinggi berdasarkan serpihan yang ditemui pada lereng gaung.
"Jika pemandu memandu laju, biasanya kenderaan akan 'melayang' sedikit sebelum terjatuh.
"Berdasarkan serpihan kenderaan dikawasan lereng gaung, kita yakin kenderaan ini tidak dipandu laju dan terus terjunam ke bawah (gaung)," katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.
Beliau berkata, pihaknya percaya punca kemalangan lebih kepada faktor kecuaian kerana tidak memberi tumpuan penuh ketika memandu.
Selain itu, Sharudin memberitahu, pemeriksaan ke atas SUV tersebut menemukan tapak kamera papan pemuka (dashcam), namun alat tersebut tidak ditemui dan dipercayai tercampak ketika kejadian.
Ditanya mengenai operasi mengeluarkan kenderaan itu, Sharudin berkata, ia mengambil masa hampir empat jam berikutan keadaan cuaca hujan yang menyukarkan proses membawa naik SUV tersebut.
"Operasi membawa naik kenderaan dijalankan bermula jam 2 petang semalam (Sabtu) sebelum dibawa ke IPD Hulu Terengganu," katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan terdapat papan tanda amaran dan penghadang jalan di lokasi tersebut, namun difahamkan ia telah dialihkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
"Pihak polis akan menjalankan pemantauan dan mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang terhadap sesiapa sahaja yang mengalih atau mengganggu tanda keselamatan jalan," ujarnya.
Sinar Harian pada Jumaat melaporkan sebuah SUV jenis Toyota Fortuner dinaiki seorang guru, Hassan Shazali, 52, dan Suzaimah Che Azis, 34, terjunam ke dalam gaung dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang.
Kedua-duanya mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Jenazah Hassan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kedai Menanti, Pasir Puteh pada jam 9.10 malam, manakala jenazah Suzaimah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lebir, Gua Musang pada jam 9.26 malam pada Sabtu.
Ringkasan AI
- Tiada kesan brek ditemui di lokasi kemalangan SUV yang terjunam ke dalam gaung
- Kenderaan itu dipandu terus menghala ke kawasan jalan terputus dan terjatuh sedalam 61 meter
- Kelajuan kenderaan tidak tinggi berdasarkan serpihan yang ditemui pada lereng gaung
- Puncanya lebih kepada faktor kecuaian kerana tidak memberi tumpuan penuh ketika memandu
- Terdapat papan tanda amaran dan penghadang jalan di lokasi namun telah dialihkan oleh pihak tidak bertanggungjawab
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
