'Arwah berhasrat pakai tema hitam pada hari perkahwinan'

Fauziah menunjukkan gambar anaknya, Allahyarham Suzaimah ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu (HHT) pada Sabtu.
Fauziah menunjukkan gambar anaknya, Allahyarham Suzaimah ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu (HHT) pada Sabtu.
A
A
A

HULU TERENGGANU - Hasrat seorang bakal pengantin memilih tema pakaian warna hitam untuk majlis perkahwinannya pada 25 Disember ini tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan di Kilometer 52 Jalan Kuala Jeneris–Sungai Gawi–Aring (Bukit Kawah), petang Jumaat.

Mangsa, Suzaimah Che Azis, 34, dan Hassan Shazali, 52, dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dinaiki mereka terbabas dan terjunam ke dalam gaung.

Adik bongsu mangsa, Siti Azliana Che Azis, 33, berkata, kakaknya sangat teruja membuat persiapan perkahwinan termasuk memilih warna hitam sebagai tema pasangan dan keluarga.

Menurutnya, kali terakhir dia menghubungi kakaknya itu pada petang kejadian untuk berbincang mengenai persiapan hantaran, namun panggilan itu tidak dijawab.

"Setiap seorang daripada kami adik-beradik berhasrat menaja satu hantaran. Tetapi, apa yang dirancang tidak menjadi kenyataan sebab selepas Maghrib semalam ibu beritahu kakak terlibat kemalangan dan telah meninggal dunia.

"Hajat kakak untuk memakai busana warna hitam, termasuk kek dan pakaian keluarga tidak kesampaian. Pakaian yang sepatutnya dipakai pada majlis perkahwinan itu kini akan digunakan pada kenduri arwah," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu (HHT) di sini pada Sabtu.

Suasana suram menyelubungi Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu (HHT) apabila ahli keluarga kedua-dua mangsa nahas SUV menunggu proses bedah siasatan dijalankan ke atas mangsa.
Suasana suram menyelubungi Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu (HHT) apabila ahli keluarga kedua-dua mangsa nahas SUV menunggu proses bedah siasatan dijalankan ke atas mangsa.

Azliana berkata, dia bergegas dari Meru, Klang ke Hulu Terengganu sebaik menerima perkhabaran itu kerana terlalu rapat dengan arwah, lebih-lebih lagi sejak mereka kerap berhubung bagi menyiapkan persiapan perkahwinan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, ibu mangsa, Fauziah Mahmud, 58, berkata, beliau dimaklumkan mengenai tragedi menimpa anak ketujuh daripada lapan beradik itu oleh anggota polis selepas menunaikan solat Maghrib pada Jumaat.

Katanya, pihak lelaki dijadualkan datang merisik dan bertunang pada 20 Disember ini, manakala majlis perkahwinan dirancang berlangsung lima hari kemudian.

"Arwah sebelum ini pernah berkahwin dan mempunyai tiga anak berusia 15, 12 dan 7 tahun. Dia mengusahakan kantin sekolah sejak 14 tahun lalu.

"Kali terakhir kami berhubung pada Khamis lalu dan kebiasaannya arwah akan memaklumkan jika hendak ke mana-mana. Tapi kali ini dia tak beritahu hendak ke mana dan saya dapat tahu ada baju pengantin dalam kereta dinaiki mereka. Mungkin mereka ke Terengganu untuk buat persiapan perkahwinan," katanya.

Menurut Fauziah, jenazah Suzaimah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lebir selepas proses bedah siasat selesai di Unit Forensik HHT.

Difahamkan, jenazah Allahyarham Hassan akan dituntut ahli keluarganya sebelum dibawa pulang ke Kedai Menanti, Pasir Putih, Kelantan untuk dikebumikan.

Ringkasan AI

  • Hasrat seorang bakal pengantin memilih pakaian bertemakan warna hitam tidak kesampaian akibat kemalangan maut
  • Mangsa dan pasangannya meninggal selepas SUV mereka terjunam ke dalam gaung
  • Allahyarham Suzaimah sangat teruja dengan persiapan perkahwinan termasuk tema warna hitam untuk pasangan dan keluarga
  • Pakaian perkahwinan yang tidak terpakai akan digunakan pada kenduri arwah
  • Majlis perkahwinan dirancang berlangsung lima hari selepas sesi merisik dan bertunang

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!