Kisah ibu buta merangkak minta tolong bukti pentingnya nilai prihatin

Pasukan penyelamat membantu menyelamatkan warga emas terbabit.
Pasukan penyelamat membantu menyelamatkan warga emas terbabit.
A
A
A

KISAH wanita warga emas buta yang terpaksa merangkak keluar dari rumah demi mendapatkan bantuan selepas anaknya meninggal dunia benar-benar membuka mata masyarakat tentang pentingnya prihatin terhadap jiran dan penduduk sekampung.

Insiden memilukan itu bukan sahaja menyentuh emosi, tetapi turut mengingatkan bahawa masih ada insan yang menjalani hidup terasing dan jauh dari penempatan penduduk lain.

Wanita berusia 69 tahun yang selama ini bergantung pada anak perempuannya terpaksa mengerah saki-baki tenaga untuk mencari pertolongan.

Bayangkan seorang ibu buta merangkak keluar dari rumah didiami bersama anaknya dengan berpandukan sentuhan di sepanjang laluan denai sempit sejauh kira-kira 150 meter.

Ketika kita membaca kisah berkenaan, barangkali timbul rasa sebak memikirkan bagaimana seorang ibu buta sanggup merangkak untuk mendapatkan bantuan selepas menyedari anaknya telah meninggal dunia.

Pada mulanya, si ibu tidak berupaya berbuat apa-apa selain berharap ada bantuan tiba, namun tiada sesiapa yang datang ke rumah lalu warga emas yang buta itu mengumpulkan seluruh tenaga selepas bau busuk semakin kuat.

Kisah berlaku pastinya menimbulkan persoalan besar iaitu sejauh mana kita benar-benar mengambil tahu keadaan saudara mara, jiran ataupun penduduk setempat?

Dalam kehidupan moden yang semakin sibuk, kadang-kadang kita lupa bahawa masih ada insan sekeliling kita yang memerlukan perhatian.

Justeru, kes seperti itu membuka mata bahawa sifat ambil peduli tidak boleh menjadi pilihan, sebaliknya ia seharusnya menjadi budaya dalam komuniti.

Artikel Berkaitan:

Masyarakat tempatan, jiran-jiran dan komuniti setempat disaran supaya peka terhadap individu di sekitar terutama mereka yang tinggal jauh, sendirian, kurang upaya atau terlantar agar tidak ada lagi yang terlepas pandang.

Kini, wanita warga emas itu telah ditempatkan di Rumah Seri Kenangan (RSK), manakala pemeriksaan kesihatan dan beberapa prosedur lanjut sedang diuruskan bagi memastikan kebajikan serta rawatan wanita berkenaan terjamin.

Perkembangan terbabit dikongsikan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri yang turut memaklumkan penempatan warga emas itu di RSK adalah pilihan terbaik memandangkan wanita tersebut hidup bersendirian dan tidak mempunyai waris terdekat.

Dalam kesempatan itu, Nancy turut menasihatkan supaya insiden yang menyayat hati itu sepatutnya dapat dielakkan sekiranya masyarakat lebih peka terhadap keadaan jiran dan penduduk sekampung.

Saranan agar penduduk setempat lebih peka terhadap keadaan jiran, terutama warga emas dan mereka yang tinggal bersendirian perlu diberi perhatian serius.

Tidak salah jika saudara terdekat ataupun jiran mengambil inisiatif menziarahi atau sekurang-kurangnya mengetuk pintu sekali sehari untuk memastikan keadaan mereka baik.

Langkah kecil sebegitu mampu membawa perubahan besar dalam hidup seseorang, apatah lagi warga emas atau mereka yang berdepan kekurangan dalam kehidupan.

Jika ada mampu meluangkan sedikit masa setiap hari untuk bertanya khabar, pasti tiada lagi warga emas dibiarkan berjuang dalam kesunyian untuk mendapatkan bantuan seperti yang berlaku dalam insiden itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!