Wanita buta merangkak dapatkan bantuan ditempatkan di Rumah Seri Kenangan - Nancy

KUCHING - Wanita warga emas yang buta dan terpaksa merangkak keluar untuk mendapatkan bantuan selepas anaknya meninggal dunia kini telah ditempatkan di Rumah Seri Kenangan (RSK) di sini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa pemeriksaan kesihatan dan beberapa prosedur lanjut sedang diuruskan bagi memastikan kebajikan serta rawatan wanita berkenaan terjamin.
Menurut beliau, penempatan warga emas itu di RSK adalah pilihan terbaik memandangkan wanita tersebut hidup bersendirian dan tidak mempunyai waris terdekat.
“Kalau ada keluarga sudah tentu mereka akan mengambilnya, namun setakat ini tiada siapa tampil menuntut,” katanya.
Nancy menjelaskan, kediaman wanita itu yang terletak jauh daripada penempatan penduduk lain menyebabkan beliau terpaksa merangkak keluar ke jalan raya untuk mendapatkan bantuan.
“Kediaman wanita itu agak jauh daripada penduduk lain, menyebabkannya terpaksa merangkak keluar ke jalan raya untuk mendapatkan bantuan.
“Ia dipercayai berlaku selepas menyedari anaknya yang tinggal bersamanya sudah beberapa hari meninggal dunia,” katanya ketika mengulas kejadian di Kampung Telok Sabang, Kota Samarahan pada Jumaat.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa menghadiri Festival Nyamai Sarawak Gastronomy 2025 di Kampung Budaya Sarawak, Santubong pada Sabtu.
Menurut Nancy, insiden yang menyayat hati itu sepatutnya dapat dielakkan sekiranya masyarakat lebih peka terhadap keadaan jiran dan penduduk sekampung.
Katanya, ketua kampung wajar sentiasa memantau penduduk di bawah tanggungjawab mereka, terutama individu yang mempunyai masalah kesihatan atau tinggal berjauhan daripada rumah lain.
“Kita tidak sepatutnya hanya mengambil perhatian terhadap masalah penduduk ketika musim pilihan raya sahaja, tetapi perlu sentiasa peka terhadap keadaan jiran dan individu yang memerlukan bantuan.
“Kita melantik ketua masyarakat dan sukarelawan di kampung untuk menjadi mata serta telinga kepada agensi kebajikan, dan mereka perlu mengetahui siapa yang tinggal bersendirian serta siapa yang memerlukan bantuan,” ujarnya.
Nancy turut menggesa mana-mana individu yang berdepan kesukaran menjaga ahli keluarga, khususnya warga emas atau orang kurang upaya (OKU), supaya segera menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Sarawak bagi mendapatkan nasihat dan bantuan sewajarnya.
“Kerajaan menyediakan banyak kemudahan, cuma masyarakat perlu tahu di mana untuk mendapatkan bantuan. Jangan takut atau segan, kerana keutamaan kami ialah memastikan kebajikan semua termasuk yang hidup dalam kesunyian,” katanya.
Sebelum ini, wanita buta tersebut ditemui orang awam selepas merangkak kira-kira 150 meter dari rumahnya bagi mendapatkan bantuan.
Beliau bertindak demikian setelah menyedari anak perempuannya telah meninggal dunia dan mayatnya berada dalam keadaan mereput serta mengeluarkan bau busuk.
Ringkasan AI
- Wanita warga emas buta merangkak keluar mencari bantuan selepas anaknya meninggal
- Ditempatkan di Rumah Seri Kenangan (RSK) oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
- Tiada waris terdekat, penempatan di RSK dianggap pilihan terbaik
- Kediamannya jauh dari penduduk lain, menyebabkan perlu merangkak ke jalan raya untuk bantuan
- Nancy Shukri menggesa kesedaran masyarakat dan ketua kampung peka terhadap jiran yang memerlukan bantuan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
