Perlu kawal selia pempengaruh

MINGGU lalu saya bercakap di hadapan kira-kira 50 pelajar jurusan undang-undang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam mengenai media dan perundangan di negara ini.
Di Malaysia terutama membabitkan penerbitan akhbar bercetak dan dalam talian, memang melibatkan banyak undang-undang yang bertujuan untuk memastikan media tidak melakukan perkara yang menjejaskan negara dan rakyat.
Antara undang-undang yang ada ialah Akta Percetakan dan Penerbitan, Akta Komunikasi dan Multimedia dan terbaharu ialah Akta Majlis Media Malaysia yang mengawal selia profesionalisme dalam dunia kewartawanan dan media.
Peranan media arus perdana penting kerana bukan sahaja melaporkan pelbagai berita yang penting untuk rakyat, malah membentuk kerangka pemikiran atau pandangan tertentu mengenai pelbagai isu.
Akhbar dan wartawan bertanggungjawab untuk memastikan setiap laporan yang dihasilkan bukan sahaja tepat tetapi tidak mencetuskan keadaan huru-hara dalam negara.
Disebabkan itu media di Malaysia perlu berhati-hati dan mempunyai etika yang tinggi terhadap setiap laporan disiarkan atau bakal dikenakan tindakan tegas jika gagal patuhi undang-undang.
Tetapi sejak sedekad lalu, kemunculan media sosial telah mengubah banyak perkara dan kini sesiapa sahaja tanpa mengira latar belakang dan status pendidikan boleh menjadi seorang penyebar maklumat.
Gelaran kepada golongan tersebut dikenali sebagai pempengaruh dan dengan pengikut yang ramai, mereka boleh mempengaruhi banyak orang untuk membeli atau mengikuti apa sahaja aktiviti yang disarankan.
Paling membahayakan ialah kewujudan pempengaruh yang tiada latar belakang dalam bidang perubatan tetapi aktif menjual ubat-ubatan dan mendakwa produk yang mereka jual itu mampu mengubati pelbagai penyakit.
Malah ada pula pempengaruh yang tiada latar belakang ekonomi dan kewangan turut memberikan pelbagai pandangan dan tips yang hanya berdasarkan pembacaan di internet sahaja.
Disebabkan itulah Pentadbiran Ruang Siber China (CAC) mengambil langkah berani dengan menguatkuasakan undang-undang baharu pada 25 Oktober lalu mewajibkan sesiapa yang menghasilkan kandungan berkaitan topik ilmiah yang dianggap sensitif seperti perubatan, undang-undang, pendidikan atau kewangan wajib memiliki kelayakan rasmi dalam bidang tersebut.
Seseorang pempengaruh yang mahu mengulas atau membuat podcast untuk topik-topik tersebut perlu ada ijazah, namun pempengaruh masih boleh mengulas dan menghasilkan kandungan topik lain seperti biasa.
Langkah tegas itu diambil pemerintah China kerana sudah berlaku banyak kejadian apabila maklumat tidak tepat oleh pempengaruh kepada warganet berkaitan dengan topik sensitif telah menyebabkan banyak kemudaratan.
Selain itu terlalu banyak kandungan yang memesongkan fakta dengan hujah dianggap tidak berasas tentang isu-isu berkaitan perubatan, undang-undang, kewangan dan pendidikan.
Pempengaruh di China yang ingin bercakap tentang topik terkawal itu mestilah menunjukkan bukti kepakaran mereka sama ada melalui ijazah, sijil atau sebarang kelayakan profesional.
Jadi sudah sampai masanya, Malaysia juga mempunyai undang-undang atau peraturan sama seperti yang ditetapkan oleh China itu.
Pada masa ini pun, sudah banyak kenyataan-kenyataan yang tidak tepat, menyeleweng fakta dan mengelirukan oleh pempengaruh yang mempunyai agenda dan kepentingan tertentu.
Paling bahaya sekarang kemunculan ramai pempengaruh yang menyampaikan ilmu agama namun tidak dapat dipastikan sama ada mereka memiliki tauliah atau tidak dan ini juga harus diberikan perhatian oleh pihak berkuasa.
*Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
