Fahmi sedia teliti cadangan Kod Etika Pempengaruh

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Kementerian Komunikasi sedia meneliti pembentukan Kod Etika Pempengaruh bagi media sosial seperti dicadangkan Pakar Perang Saraf serta Penganalisis Keselamatan dan Politik, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin.
Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil berkata, beliau juga bercadang menemui pakar berkenaan bagi memahami cadangan, rasional serta implikasi terhadap ekosistem komunikasi negara.
"Saya berhasrat untuk bertemu dengan pakar tersebut untuk cuba memahami dengan lebih lanjut (cadangan)," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA), di sini pada Jumaat.
Ujarnya, meskipun kerajaan ketika ini tidak mengenakan lesen atau kawal selia terhadap aktiviti pempengaruh, namun perkembangan terkini menimbulkan persoalan tentang standard pelaporan dan tanggungjawab sosial.
Beliau merujuk insiden semasa melibatkan inkues kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir apabila media rasmi tidak dibenarkan membuat liputan sedangkan pempengaruh yang tidak mempunyai akreditasi, diberikan akses.
"Jadi kita akan teliti. Saya akan jemput pakar tersebut untuk adakan sedikit perbincangan untuk cuba faham sudut pandang beliau," jelasnya.
Terdahulu Sinar Harian melaporkan keperluan untuk kerajaan membentuk Kod Etika Pempengaruh sebagai langkah awal mengekang penyebaran pandangan tidak berasaskn kepakaran terutamanya dalam isu sensitif dan berimpak besar.
Noor Nirwandy berpandangan bahawa peningkatan pengulas tidak bertauliah dalam topik seperti kesihatan, kewangan, undang-undang dan pendidikan perlu dipandang serius kerana berpotensi membentuk persepsi awam secara tidak tepat.
Fenomena itu katanya dilihat menjadi cabaran kepada ekosistem media sosial negara kerana ia membentuk corak pemikiran masyarakat dan peradaban komunikasi masa depan.
Ringkasan AI
- Kementerian Komunikasi bersedia meneliti pembentukan Kod Etika Pempengaruh bagi media sosial
- Menteri berhasrat bertemu pakar untuk memahami cadangan kod etika dan implikasinya
- Kerajaan sekarang tidak mengenakan lesen pada aktiviti pempengaruh tetapi pertimbangkan standard pelaporan dan tanggungjawab sosial
- Insiden tidak membenarkan media rasmi liputan sementara pempengaruh tidak berakreditasi diberi akses menimbulkan persoalan
- Kod Etika Pempengaruh dibentuk sebagai langkah mengekang penyebaran pandangan tidak berdasarkan kepakaran dalam isu sensitif
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

