X

Kindly register in order to view this article
!

AS tawar RM65 juta untuk tahan Presiden Venezuela

Maduro menafikan tuduhan palsu dan tidak berasas dilemparkan AS. - FOTO: AGENSI
A
A

WASHINGTON - Amerika Syarikat (AS) menawarkan ganjaran AS$15 juta (RM65 juta) untuk maklumat yang membawa kepada penahanan Presiden Venezuela, Nicolas Maduro atas dakwaan melakukan penyeludupan dadah.

Tawaran itu dibuat oleh Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo semalam selepas Jabatan Kehakiman AS melancarkan tuduhan ke atas Maduro yang turut menggambarkan beliau sebagai penjenayah biasa dan bukan ketua negara.

“Rakyat Venezuela berhak mendapat kerajaan yang telus, bertanggungjawab dan mewakili keperluan mereka. Kerajaan tersebut tidak seharusnya mengkhianati kepercayaan rakyat dengan menggunakan pegawai awam untuk kegiatan penyeludupan dadah,” kata Pompeo.

Terdahulu, AS mendakwa Maduro dan beberapa pembantu kanan beliau dengan keganasan narkotik selepas pemimpin tersebut dituduh mengetuai geng penyeludupan kokain digelar The Cartel of the Suns yang menghantar ratusan tan dadah ke AS lebih dua dekad lalu dan turut mengaut keuntungan ratusan juta dolar.

Menurut penyiasat, kartel terbabit bekerjasama dengan pemberontak Pasukan Bersenjata Revolusi Colombia (FARC) yang dilabel sebagai pertubuhan pengganas oleh AS.

“Selama lebih 20 tahun, Maduro bersekongkol dengan FARC menggunakan kokain untuk memusnahkan komuniti Amerika.

"Sudah tiba masanya untuk bertindak ke atas rejim beliau yang dicemari rasuah dan perbuatan jenayah,” kata Peguam Negara AS, Bill Barr yang menegaskan Washington tidak lagi mengiktiraf Maduro sebagai pemimpin Venezuela yang sah.

Maduro dalam satu kenyataan mengecam tuduhan palsu dan tidak berasas yang dilemparkan pentadbiran Presiden Donald Trump.

“Anda sangat keji Donald Trump!” tegas beliau menerusi ucapan yang disiarkan stesen TV dari Istana Presiden di Caracas lewat semalam.

Difahamkan, beliau bakal berdepan hukuman penjara seumur hidup jika disabitkan bersalah, namun masih tidak jelas bagaimana rancangan AS untuk membawanya ke muka pengadilan.

Sementara itu, Juan Guaido yang diiktiraf lebih 50 negara termasuk AS sebagai Presiden Venezuela menyifatkan negara itu bukan hanya berdepan masalah politik.

“Kita berdepan kartel, Kartel Maduro. Saya percaya dakwaan itu disokong bukti dan akan membantu membebaskan negara ini daripada rangkaian jenayah,” ujarnya. - Agensi


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus