Banjir di Aceh ibarat tsunami kedua

Keadaan kawasan yang ditenggelami banjir di Aceh yang diambil pada 27 November lalu.
Keadaan kawasan yang ditenggelami banjir di Aceh yang diambil pada 27 November lalu.
A
A
A

BANDA ACEH – Bencana banjir dan tanah runtuh yang melanda Kabupaten Aceh Tamiang, Provinsi Aceh, Indonesia, sejak minggu lalu kini digambarkan penduduk sebagai tragedi terburuk selepas Tsunami Aceh pada 2004.

Menurut pihak berkuasa tempatan, hujan berterusan yang bermula pada 26 November lalu menyebabkan air naik mendadak sehingga mencecah lebih 3.5 meter dalam tempoh 72 jam, menyebabkan ratusan penduduk tidak sempat menyelamatkan harta benda, selain hanya membawa pakaian di badan.

Beberapa kampung termasuk Menang Gini, Kampung Dalam dan beberapa kawasan di Karang Baru hampir lenyap sepenuhnya selepas dilanda arus deras yang membawa lumpur, kayu balak serta serpihan runtuhan.

Keadaan kawasan perumahan yang digenangi banjir selepas hujan lebat berterusan sejak Rabu.
Keadaan kawasan perumahan yang digenangi banjir selepas hujan lebat berterusan sejak Rabu.

Seorang penduduk Menang Gini, Ishak berkata, kenaikan air berlaku terlalu pantas dan mengakibatkan rumah-rumah musnah dalam tempoh yang singkat.

“Paras air naik lebih dua meter dalam tempoh 48 jam. Pada hari ketiga, parasnya semakin meningkat sehingga kira-kira 3.5 meter. Banjir ini seperti tsunami, cuma datangnya dari sungai,” katanya kepada Berita Satu pada Khamis.

Ishak dan lebih 50 penduduk lain terpaksa berlindung di pejabat sebuah organisasi tempatan selepas terperangkap selama empat hari tanpa makanan mencukupi dan tanpa bekalan elektrik.

“Arus terlalu kuat, rumah habis ranap. Kini kami paling perlukan makanan, air bersih dan ubat-ubatan untuk bayi. Ramai anak kecil demam,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Penduduk kampung memotong kayu balak yang dibawa arus banjir untuk membina semula rumah mereka yang rosak.
Penduduk kampung memotong kayu balak yang dibawa arus banjir untuk membina semula rumah mereka yang rosak.

Seorang lagi penduduk Kampung Dalam, Wahyu Putra Pratama menggambarkan bagaimana air melimpah masuk sejurus selepas waktu Maghrib sebelum meningkat hampir setinggi kabel elektrik.

“Paras air naik hingga tiga meter dalam tempoh sejam setengah. Rumah kami semua runtuh.

"Kami terpaksa berenang sambil mengikat tali di pinggang supaya tidak dihanyutkan arus banjir,” ujarnya.

Situasi banjir di Aceh Tamiang pada hari kedua yang dirakam penduduk.
Situasi banjir di Aceh Tamiang pada hari kedua yang dirakam penduduk.

Menurut Wahyu, mereka terperangkap selama lima hari lima malam sebelum arus mula surut pada hari keenam.

Dia menganggarkan kira-kira 80 peratus rumah di kampungnya musnah sama sekali.

“Daripada 100 peratus, hanya tinggal sekitar 20 peratus struktur yang masih utuh,” katanya.

Sebuah keluarga duduk di luar rumah mereka yang musnah akibat banjir.
Sebuah keluarga duduk di luar rumah mereka yang musnah akibat banjir.

Banyak kawasan jadi 'pekan zombi'

Wahyu turut menggambarkan keadaan di kawasannya sebagai 'pekan zombi' selepas daerah itu terputus bekalan elektrik, dipenuhi sisa runtuhan dan bau mayat yang semakin menyengat setiap hari.

Sementara itu, tinjauan awal pihak berkuasa mendapati kerosakan infrastruktur amat serius.

Sebuah kereta yang hanyut dibawa arus banjir di kawasan Desa Bukit Tempurung, Kota Kuala Simpang, Kabupaten Aceh Tamiang.
Sebuah kereta yang hanyut dibawa arus banjir di kawasan Desa Bukit Tempurung, Kota Kuala Simpang, Kabupaten Aceh Tamiang.

Beberapa jambatan utama runtuh, jalan terputus, rangkaian elektrik rosak dan sistem bekalan air bersih lumpuh.

Lebih 46,000 rumah dikenal pasti rosak di seluruh Aceh, sementara lebih 530,000 penduduk terjejas manakala kira-kira 150,000 dipindahkan ke pusat perlindungan sementara.

Keadaan selepas banjir mula surut.
Keadaan selepas banjir mula surut.

Banyak kawasan masih terputus hubungan berikutan jalan ditenggelami lumpur tebal dan runtuhan batu.

Menurut laporan rangkaian media tempatan, angka keseluruhan korban di Sumatera pula meningkat lebih 800 orang manakala lebih 500 lagi masih hilang dalam bencana dahsyat tersebut.

Ringkasan AI

  • Bencana banjir dan tanah runtuh di Kabupaten Aceh Tamiang digambarkan tragedi terburuk selepas Tsunami Aceh pada 2004
  • Hujan berterusan menyebabkan air naik mendadak sehingga mencecah lebih 3.5 meter dalam 72 jam
  • Beberapa kampung hampir lenyap sepenuhnya selepas dilanda arus deras
  • Lebih 50 penduduk terpaksa berlindung di pejabat organisasi tempatan tanpa makanan mencukupi dan bekalan elektrik
  • Lebih 46,000 rumah rosak di seluruh Aceh, lebih 530,000 penduduk terjejas dan kira-kira 150,000 dipindahkan ke pusat perlindungan sementara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!