WQC 2025: Bukan sekadar program ilmu tetapi pemacu ekonomi, kerohanian

SHAH ALAM – Sesebuah organisasi tidak boleh sekadar berfungsi secara rutin dari jam 8 pagi hingga 5 petang sebaliknya perlu sentiasa memikirkan peranan dan tindakan yang mampu memberi kesan positif kepada masyarakat secara menyeluruh.
Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Datin Paduka Mastura Muhamad berkata, setiap jawatan yang diamanahkan perlu dimanfaatkan sebaik mungkin kerana ia bukan sekadar tanggungjawab pentadbiran, tetapi tuntutan kepada orang ramai.
Menurutnya, prinsip itu diterapkan dalam pengurusan organisasi termasuk penganjuran program-program masyarakat seperti pesta buku dan bazar ilmu.
"Begitu juga dengan program berteraskan al-Quran seperti World #QuranCovention (WQC) 2025 yang diyakini mampu menjadi penyelesaian kepada pelbagai cabaran semasa dengan prinsip Islam menekankan keseimbangan duniawi dan kerohanian.
“Kami menyokong inisiatif tersebut kerana percaya segala penyelesaian kehidupan telah terkandung dalam al-Quran, selain mengenali penganjur serta memahami tujuan dan hala tuju program yang dibawa.

"Ia juga selari dengan prinsip kami bahawa setiap perkara yang dilakukan mesti memberi manfaat kepada masyarakat," ujarnya kepada Sinar Harian.
Menurut Mastura, pengunjung bukan sahaja memperoleh ilmu tetapi membantu meningkatkan perniagaan dan ekonomi menerusi pelbagai program.
Beliau memberi contoh, penganjuran pesta buku menelan perbelanjaan sekitar RM2 hingga RM3 juta namun dalam masa sama memberi manfaat kepada peniaga makanan, penyewa gerai, pencetak, penceramah, pengiklan serta pembekal buku.
"Setiap pekerjaan dilakukan bukan sekadar untuk memenuhi tanggungjawab duniawi, sebaliknya sebagai satu ibadah yang memberi manfaat kepada semua pihak.
"Selain itu, setiap keputusan yang dibuat dalam organisasi dilakukan melalui kaedah syura bagi mendapatkan keberkatan dan mengelakkan keputusan bersifat sebelah pihak.
“Sebagai pengarah, saya tidak membuat keputusan secara bersendirian. Setiap perkara akan dibincangkan bersama," ujarnya.
Beliau turut menekankan bahawa tugas manusia hanyalah menyampaikan, manakala hidayah adalah milik ALLAH sepenuhnya.
"Sehubungan itu, pihaknya menghantar kakitangan menyertai program-program keilmuan sebagai usaha mendidik dan memperkukuh kefahaman agama.
"Dalam masa sama, budaya membaca dan menghayati al-Quran turut diterapkan dalam kalangan kakitangan melalui pembacaan harian termasuk terjemahan bagi memahami mesej serta pengajaran yang terkandung di dalamnya," ujarnya.
Beliau berkata, setiap individu juga perlu sentiasa bersyukur dengan kedudukan yang diamanahkan kerana ia adalah ketentuan ALLAH, di samping menjaga tutur kata dan mengutamakan sikap positif dalam kehidupan seharian.
Ringkasan AI
- Organisasi perlu memikirkan peranan dan tindakan yang memberi kesan positif kepada masyarakat
- Setiap jawatan diamanahkan bukan sekadar tanggungjawab pentadbiran, tetapi tuntutan kepada orang ramai
- Program seperti World #QuranCovention dianjurkan sebagai penyelesaian kepada cabaran semasa dengan prinsip Islam
- Penganjuran pesta buku menyokong peniaga, penyewa gerai, pencetak, dan penceramah meningkatkan ekonomi
- Keputusan dalam organisasi dibuat melalui kaedah syura untuk mendapatkan keberkatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

