14 warga Jepun, 4 lelaki China didakwa penipuan dalam talian

Kesemua tertuduh diiringi anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Bukit Mertajam pada Jumaat.
Kesemua tertuduh diiringi anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Bukit Mertajam pada Jumaat.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Seramai 14 warga Jepun dan empat rakyat China mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini atas pertuduhan berpakat melakukan penipuan dalam talian pada bulan lalu.

Mereka yang dituduh ialah Chen Zigui, 30; Liang Chengfu, 37; Hama Takuya, 35; Tustsui Shoichi, 42; Kono Kiyoshi, 51; Yamao Yuta, 27; Kishi Kosuke, 26; Ryo Nomita, 34; Chen Yien, 34; Ohak Koki, 35 dan Motokawa Yuya, 30.

Lagi tujuh tertuduh iaitu Takumi Nakano, 26; Matsumoto Satoshi, 44; Inanobe Yuya, 24; Lin Ping, 42; Hashimoto Takuya, 34; Minamihata Naoto, 37 dan Yuina Miki, 25.

Kesemua mereka mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Inggeris dan Mandarin di hadapan Majistret Roshayati Radellah.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan pakat jenayah yang menyalahi undang-undang iaitu menjalankan aktiviti penipuan dalam talian yang bertentangan dengan Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Bukit Juru, Bukit Tengah antara jam 12 hingga 12.10 tengah hari pada 20 November lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 120 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan sebat dan denda, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zulfadzli Hassan yang mencadangkan mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 bagi setiap seorang tertuduh selain pasport mereka diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Artikel Berkaitan:

Kesemua tertuduh diiringi anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Bukit Mertajam pada Jumaat.
Kesemua tertuduh diiringi anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Bukit Mertajam pada Jumaat.

Sementara itu, peguam, Mahesh Ananthan yang mewakili semua tertuduh memohon agar jaminan rendah dikenakan terhadap semua anak guamnya dengan alasan mereka perlu menyara keluarga di negara masing- masing, selain mempunyai pendapatan rendah serta dan memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM8,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin warga tempatan, selain pasport diserahkan kepada mahkamah.

Kes akan disebut semula kes untuk serahan dokumen pada 3 Februari depan.

Kesemua mereka bekerja sebagai tukang cuci, pemandu, pekerja kedai makan dan juga tukang cat membayar wang jaminan tersebut.

Pada 28 November lalu, Sinar Harian melaporkan polis Pulau Pinang menumpaskan sindiket 'phone scam' yang menyasarkan mangsa di Jepun selepas menahan 18 individu dalam serbuan di dua banglo di kawasan Simpang Ampat pada 20 November lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, tangkapan melibatkan 13 lelaki dan seorang wanita warga Jepun serta empat lelaki warga China berusia antara 25 hingga 51 tahun.

Menurutnya, semua suspek mengaku bekerja sebagai operator pusat panggilan (call centre) sejak tiga bulan lalu dengan menerima gaji antara RM5,000 hingga RM8,000 sebulan.

"Modus operandi sindiket ini adalah menggunakan aplikasi Telegram untuk mendapatkan maklumat mangsa sebelum menyamar sebagai polis Jepun.

"Mereka kemudian menggunakan aplikasi Go (Japan) bagi menguruskan transaksi kewangan bagi memperdaya mangsa di negara Jepun," katanya.

Ringkasan AI

  • Seramai 14 warga Jepun dan empat warga China mengaku tidak bersalah atas pertuduhan penipuan dalam talian
  • Kesalahan dilakukan di Taman Bukit Juru, Bukit Tengah pada 20 November lalu
  • Tertuduh boleh menghadapi hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda
  • Jaminan ditetapkan RM8,000 bagi setiap tertuduh dengan syarat penyerahan pasport
  • Mereka didakwa menggunakan aplikasi Telegram dan menyamar sebagai polis Jepun untuk memperdaya mangsa

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!