Anggota sindiket along mengaku tidak bersalah 13 pertuduhan khianat

Choon Kian (hadapan) tiba di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di Johor Bahru pada Khamis.
Choon Kian (hadapan) tiba di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di Johor Bahru pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki yang dipercayai ahli sindiket pinjaman wang tanpa lesen (along) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas 13 pertuduhan melakukan khianat dengan api, menyimbah cat, melakukan ugutan jenayah serta positif dadah.

Tertuduh, Liew Choon Kian, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan dua hakim Mahkamah Sesyen dan tiga majistret berasingan.

Di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail dan Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim, tertuduh mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan melakukan perbuatan khianat menggunakan bahan api, dengan niat untuk menyebabkan kerosakan kepada harta dengan cara membakar sebuah kereta Toyota Camry dan sebuah motosikal Kawasaki Ninja milik dua orang lelaki.

Bagi perbuatan yang didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Bakar Batu 1, Taman Sentosa di sini kira-kira jam 10.15 malam, 20 Oktober lalu, lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.

Bagi dua pertuduhan khianat yang lain, tertuduh didakwa di hadapan Majistret Atifah Hazimah Wahab dan Majistret Nabilah Nizam masing-masing atas dakwaan khianat dengan cara menyimbah cat berwarna oren pada pintu restoran sehingga menyebabkan kerugian sebanyak RM292.40 dan menyimbah cat merah pada sebuah rumah yang mendatangkan kerugian lebih RM55.

Dua perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran dekat Jalan Kuning, Taman Pelangi, pada jam 3.21 pagi, 8 November lalu, dan di sebuah rumah dekat Jalan Badik 2, Taman Sri Tebrau di sini, pada jam 4.41 pagi, 17 November lalu.

Bapa tunggal kepada seorang anak berusia 15 tahun itu didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga didakwa bagi lapan pertuduhan melakukan ugutan jenayah di hadapan Majistret Atifah Hazimah, Majistret Nabilah Nizam serta Majistret A Shaarmini.

Dia didakwa menakutkan secara jenayah terhadap tujuh lelaki dan seorang wanita dengan mengancam, antaranya hendak menyebabkan kebinasaan harta milik mangsa menggunakan bahan api, selain turut meninggalkan nota dan menyimbah cat berwarna oren.

Artikel Berkaitan:

Dalam melakukan ugutan jenayah itu, tertuduh didakwa menyembunyikan identitinya dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun jika sabit kesalahan.

Kesemua perbuatan itu dilakukan di Taman Sri Tebrau, Taman Bukit Mewah, Taman Abad, Taman Johor Jaya, Taman Bestari Indah dan Taman Perling serta sebuah restoran di Taman Pelangi di sini, antara jam 2 pagi pada 16 Oktober hingga jam 3.21 pagi, 8 November lalu.

Sementara itu, di hadapan Majistret Nabilah, tertuduh didakwa mengambil dadah berbahaya jenis amphetamine dan methamphetamine untuk kegunaan sendiri di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, pada jam 1.55 petang, 29 Mac 2024.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000, penjara maksimum dua tahun dan perintah pengawasan selama dua hingga tiga tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya antaranya Zuhainie Zul Kafli, Nur Fatihah Mohd Nizam dan Nor Deana Aqilah Aliman, manakala tertuduh diwakili peguam-peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) serta peguam Mohamad Isa Mohamad Basir.

Mahkamah membenarkan tertuduh, yang mempunyai rekod jenayah lampau, diikat jamin dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM67,500.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen dan lantikan peguam pada 18 Disember ini serta 5 dan 6 Januari tahun depan.

Ringkasan AI

  • Seorang lelaki dipercayai ahli sindiket pinjaman wang tanpa lesen dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Majistret Johor Bahru atas 13 pertuduhan Tertuduh, Liew Choon Kian, mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang melibatkan khianat dengan api, menyimbah cat, melakukan ugutan jenayah serta positif dadah Didakwa melakukan perbuatan khianat menggunakan bahan api dengan niat merosakkan harta dan menyimbah cat pada pintu restoran serta rumah Tertuduh juga dihadapkan dengan pertuduhan lain termasuk ugutan jenayah dengan menakutkan mangsa dan mengambil dadah jenis amphetamine dan methamphetamine Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 18 Disember dan 5 serta 6 Januari tahun depan dengan jaminan RM67,500

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!