Banjir di Indonesia: Empat maut berebut beras di gudang

TOMPOBULU - Empat orang dilaporkan maut ketika berebut mahu mengambil beras di gudang milik Badan Urusan Logistik Kerajaan, Daerah Pandan, Tapanuli Tengah di Tompobulu di sini pada Sabtu lalu.
Tindakan itu berlaku ketika bantuan makanan tidak sampai kepada komuniti terjejas akibat banjir dan tanah runtuh.
Saksi tempatan berkata, keempat-empat mangsa dipercayai terhimpit dan tertimbus oleh timbunan beras semasa berlaku perebutan dalam kalangan orang ramai.
“Empat orang sudah meninggal dunia semasa kejadian itu. Keadaan ketika itu sangat tegang,” kata Lodewik F.S. Marpaung, seorang penduduk setempat kepada wartawan pada Isnin.
Seorang lagi penduduk, Damai Mendrofa berkata, pengagihan bantuan mangsa banjir masih belum sepenuhnya dan banyak kawasan terutama yang berbukit masih tidak menerima bantuan.
"Mereka kesempitan bekalan makanan dan air bersih, sementara maklumat mengenai pusat bantuan sukar diakses," ujarnya.
Menurutnya, tumpuan bantuan kini banyak tertumpu di pusat pemindahan, meninggalkan komuniti terpencil tanpa bantuan segera.
“Saya bimbang keadaan ini akan menimbulkan peningkatan jenayah dan penjarahan berterusan. Elektrik terputus, sambungan telefon tidak stabil — ramai yang masih terputus hubungan,” kata Damai.
Sehingga berita ini dikeluarkan, Ketua Polis Tapanuli Tengah, AKBP Wahyu Endrajaya, belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung butiran lengkap insiden empat kematian berkenaan.
Pihak polis telah mengerahkan Unit Siasatan Jenayah Polres Gowa untuk menjalankan siasatan lanjut manakala unit-unit sokongan lain turut dikerah bagi mengawal keselamatan dan mencegah kejadian susulan.
Sementara itu, lebih 800 orang terkorban dan sekurang-kurangnya 623 lagi hilang dalam banjir dan tanah runtuh di wilayah Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat setakat Rabu. -Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

