Himpunan RXZ Members 7.0 rekod empat kes kemalangan maut

Empat kes kematian direkodkan akibat kemalangan melibatkan peserta Himpunan RXZ Members 7.0 yang dalam perjalanan ke acara tersebut di Litar Permotoran Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak di sini. Gambar kecil: Mohd Yusri
Empat kes kematian direkodkan akibat kemalangan melibatkan peserta Himpunan RXZ Members 7.0 yang dalam perjalanan ke acara tersebut di Litar Permotoran Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak di sini. Gambar kecil: Mohd Yusri
A
A
A

KUALA NERUS – Empat kes kematian direkodkan akibat kemalangan melibatkan peserta Himpunan RXZ Members 7.0 yang dalam perjalanan ke acara tersebut di Litar Permotoran Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak di sini.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kemalangan berlaku sejak Jumaat lalu sebelum acara berkenaan bermula dan melibatkan peserta dari pelbagai negeri.

"Setakat ini kita terima laporan empat kes kematian akibat kemalangan maut ketika dalam perjalanan ke lokasi himpunan RXZ pada tahun ini.

“Jadi, saya nasihatkan kepada semua peserta agar lebih berhati-hati ketika perjalanan pulang bermula malam ini sehingga esok.

"Pastikan mematuhi undang-undang, arahan pihak berkuasa dan elakkan aksi berbahaya yang boleh mengundang risiko kemalangan," katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran program berkenaan, di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, peserta juga diingatkan supaya tidak melakukan aksi berbahaya seperti aksi 'Superman' dan sentiasa bergerak secara berkumpulan bagi memastikan keselamatan terjamin.

"Jika penat atau mengantuk, berhenti rehat di kawasan rehat dan rawat (R&R) atau stesen minyak bagi mengelakkan kejadian tidak diingini," katanya.

Mohd Yusri berkata, PDRM melaksanakan pemantauan dan pemeriksaan sepanjang program berlangsung, namun pendekatan kali ini lebih kepada memberi pendidikan dan memudahkan kehadiran peserta.

"Fokus kita kali ini adalah mendidik serta membantu kelancaran program yang disertai lebih 100,000 penunggang dari seluruh negara termasuk negara luar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengikut rekod, kematian pertama membabitkan seorang penunggang RXZ di simpang Jalan Palong Lapan ke Bera, di Pahang jam 6.30 pagi pada Jumaat.

Kemalangan maut kedua di Kilometer 370, Lebih Raya Pantai Timur 2 (LPT2), berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (RNR) Bukit Besi, Dungun manakala ketiga di Kilometer 394, LPT2, dekat Ajil, Hulu Terengganu, kira-kira jam 12 tengah hari, hari yang sama.

Kes terbaharu membabitkan mangsa lelaki berusia 36 tahun maut dalam kemalangan membabitkan sebuah treler di Kilometer 45, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli.

Sementara itu, Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin memaklumkan, setakat ini tiada saman dikeluarkan terhadap peserta himpunan RXZ 7.0.

"Pihak polis bersama penganjur mengambil langkah penambahbaikan berbanding tahun lalu, khususnya melibatkan kedudukan pentas dan kawalan orang ramai bagi memastikan keselamatan pengunjung sepanjang program.

"Selepas habis tempoh (empat hari) kita akan menjalankan penguatkuasaan seperti biasa bagi memastikan semua pengguna jalan raya mematuhi peraturan dan tindakan dikenakan sekiranya di kesan melakukan kesalahan," katanya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!