Wanita warga emas rugi RM98,000 diperdaya 'penilik nasib'

TANGKAK - Seorang wanita warga emas mengalami kerugian RM98,000 selepas diperdaya tawaran perubatan tradisional secara bersemuka dengan membuat tilikan, pada 23 Januari lepas.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd Talib berkata, mangsa berusia 69 tahun ditawarkan kaedah perubatan berkenaan dan diberitahu kononnya akan ditimpa nasib malang dalam masa terdekat.
Beliau berkata, mangsa dikehendaki menyerahkan wang tunai dan barangan kemas miliknya untuk upacara mantera bagi menolak bala serta menghapuskan nasib malang.
"Mangsa yang percaya kemudian telah mengeluarkan wang simpanan berjumlah RM90,000 dari bank berserta barangan kemas dianggarkan bernilai RM8,000 untuk diserahkan kepada suspek bagi tujuan perubatan.
"Seterusnya, suspek telah masuk ke dalam kereta jenis Perodua Axia berwarna perak dan mengambil satu plastik hitam serta mengarahkan mangsa supaya meletakkan wang tunai dan barangan kemas untuk dijampi, " katanya dalam kenyataan hari ini.
Roslan berkata, setelah itu, suspek telah pergi ke belakang kereta dan menyerahkan kembali plastik hitam serta mengarahkan mangsa supaya tidak membukanya selama sebulan.
"Bagaimanapun, mangsa telah membuka plastik hitam itu selepas tiga hari dan mendapati wang tunai serta barangan kemas miliknya sudah tiada, malah telah ditukar kepada makanan berupa mi segera, beberapa peket garam halus dan dua botol air mineral," katanya
Beliau berkata, mangsa bertindak membuat laporan polis semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
"Pada masa sama, kita ingin menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terperdaya dengan individu tidak dikenali dalam sebarang urusan melibatkan penyerahan wang tunai atau barang kemas, supaya tidak menjadi mangsa penipuan secara bersemuka," katanya. - Bernama
Ringkasan AI
- Wanita warga emas kerugian RM98,000 diperdaya tawaran perubatan tradisional
- Mangsa diberitahu akan ditimpa nasib malang dan perlu menyerahkan wang serta barangan kemas
- Wang simpanan RM90,000 dan barangan kemas RM8,000 diserahkan untuk upacara mantera
- Suspek melarikan diri dengan menggantikan harta mangsa dengan makanan dan minuman dalam plastik hitam
- Mangsa membuat laporan polis, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
