Integriti atas pentas, helah di belakang tirai

RASUAH dalam politik Malaysia ini dah seperti garam berlebihan dalam masakan sebab kesannya macam-macam penyakit yang datang.
Setiap kali ada pendedahan, siasatan pasti ada drama. Akhirnya hanya 'si bilis' sahaja kena, jerung pula entah ghaib ke mana.
Rakyat bukannya tak memerhati drama seumpama ini, cuma dah lama belajar bersabar. Tapi sabar pun ada had.
Undang-undang sepatutnya jadi penyelaras bukan pembaris bengkok yang boleh dilipat ikut siapa kawan dan siapa lawan. Hari ini tangkap ‘musuh’. Bila dah berbaik, tiba-tiba semua kes ‘dibincang kemudian’. Aneh kan? Tapi tak pelik pun di Malaysia.
Kita sering melaungkan integriti, ketelusan, akauntabiliti tetapi itu semua slogan cantik yang bunyinya sedap atas pentas.
Realitinya, Merak Jalanan pernah lihat, bila politik memerlukan dana, poket gelap pun terbuka. Bila pemimpin naik jawatan, kawan-kawan lama tiba-tiba dapat projek. Yang ada jawatan pula beri surat sokongan.
Rakyat juga kena jujur. Jangan kutuk rasuah juta-juta tapi senyum lebar bila dapat habuan dua tiga ratus untuk percepatkan urusan. Rasuah besar bermula dari toleransi terhadap rasuah kecil.
Kalau kita betul-betul nak Malaysia bersih, pemimpin perlu gentle, telus dari akaun sampai aset. Parti politik perlu terbuka dari derma hingga perbelanjaan dan rakyat perlu berani berkata tidak walaupun susah.
Sampai masanya Malaysia berhenti risik siapa yang mahu kaya cepat dan mula tanya siapa yang betul-betul bekerja untuk negara. Bukannya isi kantung sendiri.
Merak Jalanan tak minta banyak cuma nak negara ini lebih jujur daripada yang penuh helah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
