Sampai bila pintu masuk negara jadi lubuk manipulasi?

Pendedahan mengenai kewujudan counter setting dan aktiviti penyeludupan melibatkan pegawai tertentu seolah-olah tidak pernah berpenghujung. Foto hiasan
Pendedahan mengenai kewujudan counter setting dan aktiviti penyeludupan melibatkan pegawai tertentu seolah-olah tidak pernah berpenghujung. Foto hiasan
A
A
A

ISU integriti penguat kuasa di sempadan dan pintu masuk negara kembali menjadi tumpuan apabila pendedahan mengenai kewujudan counter setting dan aktiviti penyeludupan melibatkan pegawai tertentu seolah-olah tidak pernah berpenghujung.

Meskipun beberapa kes sudah dibawa ke muka pengadilan, hakikatnya isu pintu masuk negara masih mudah dibolosi dan ruang rasuah tetap wujud.

Situasi ini menimbulkan persoalan besar mengapa penyakit lama ini tidak mampu dihapuskan, sedangkan negara telah melabur jutaan ringgit bagi memperkukuh kawalan sempadan.

Masalah utamanya bukan sekadar kelemahan SOP atau ketirisan dalam sistem sedia ada tetapi budaya normalisasi salah laku yang berakar umbi.

Ada pegawai yang melihat rasuah kecil sebagai ‘tambahan pendapatan’, ada sindiket yang sudah lama memegang peta rangkaian dalam agensi dan ada pula pihak yang hanya berani bertindak jika isu itu sudah bocor kepada umum.

Ekosistem inilah yang menjadikan tindakan penguatkuasaan tidak cukup kuat untuk menimbulkan ketakutan jangka panjang kepada pelaku, malah ada yang berani mencabar undang-undang kerana yakin boleh ‘menyelesaikan’ masalah di kaunter tertentu.

Hakikatnya, penyelesaian hanya akan datang jika negara berani melaksanakan perubahan struktur yang tidak sekadar menghukum individu, tetapi memutuskan keseluruhan rangkaian.

Antara langkah konkrit perlu diambil ialah memastikan teknologi menggantikan sepenuhnya interaksi manusia dalam proses kelulusan tertentu yang sering menjadi ruang manipulasi.

Sistem biometrik, pengesanan automatik dan rekod digital yang tidak boleh diubah tanpa kelulusan pelbagai lapisan perlu menjadi tunjang operasi.

Artikel Berkaitan:

Penguatkuasaan juga tidak boleh lagi bergantung kepada satu agensi semata-mata, sebaliknya memerlukan model pemantauan silang yang ‘menjaga’ antara satu sama lain supaya tidak timbul ruang kompromi.

Paling penting komitmen politik dan pentadbiran untuk tidak campur tangan dalam sebarang siasatan.

Jika semua langkah ini dilaksanakan secara konsisten, barulah kepercayaan terhadap pintu masuk negara dapat dipulihkan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!