Covid-19: Tiga lagi kematian, 130 kes baharu


Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan lagi tiga kematian akibat Covid-19 menjadikan jumlah kumulatif kematian sebanyak 26 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bagi kematian kes ke-24 iaitu merupakan pesakit ke-1056 yang mempunyai sejarah perjalanan ke Bandung, Indonesia.

"Lelaki berusia 35 tahun itu dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 18 Mac dan disahkan meninggal dunia 9.30 malam semalam.

"Kes kematian ke-25 yang melibatkan pesakit kes ke-2032 juga seorang lelaki yang berumur 83 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kronik.

"Dia dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun pada Rabu lalu dan disahkan meninggal dunia keesokan harinya, jam 6.55 petang," katanya pada sidang media perkembangan kes Covid-19 di KKM di sini hari ini.

Beliau berkata, kes kematian ke-26 melibatkan lelaki berusia 53 tahun yang mempunyai kontak rapat kepada kes positif Covid-19 (kes 1309).

"Dia dirawat di Hospital Sungai Buloh pada 22 Mac dan disahkan meninggal dunia jam 10.30 pagi tadi," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, setakat jam 12 tengah hari, sebanyak 130 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan menjadikan keseluruhannya sebanyak 2,161 kes.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya daripada jumlah itu, seramai 54 orang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) termasuk 34 kes memerlukan bantuan pernafasan.

"KKM ingin memaklumkan terdapat 44 kes telah pulih dan dibenarkan pulang hari ini.

"Ini menjadikan kes pulih 259 kes," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai adakah bekas pesakit Covid-19 dijangkiti semula virus berkenaan, Dr Noor Hisham berkata, setakat ini tiada dilaporkan.

"Sebelum mereka discaj, kita telah memberi penerangan mengenai langkah-langkah keselamatan dan kebersihan yang perlu dilakukan," katanya.