Isu tanah Felda: Terengganu berhak tuntut hasil negeri

Ahmad Amzad
Ahmad Amzad
A
A
A

 

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu berhak menuntut semula hasil dan hak terhadap 14,791 hektar tanah yang diusahakan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) sejak lebih empat dekad lalu.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, kawasan melibatkan 10 ladang di Setiu, Marang, Dungun dan Kemaman itu bukan tanah rancangan Felda, sebaliknya merupakan tanah kerajaan negeri yang sepatutnya diurus berdasarkan perjanjian dan syarat asal.

Menurutnya, sepanjang lebih 40 tahun beroperasi, beberapa komitmen termasuk bayaran premium tanah, cukai tanah serta perkongsian keuntungan 30 peratus masih tidak diselesaikan dengan anggaran tunggakan mencecah RM600 juta.

"Lebih membimbangkan, tanah-tanah ini turut dipajak dan diisytiharkan sebagai aset dalam penyenaraian Bursa Malaysia sedangkan hak miliknya tidak pernah bertukar tangan.

"Ia tidak wajar kerana tanah tersebut kekal milik Kerajaan Terengganu," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Ahmad Amzad berkata, kerajaan negeri menetapkan 29 November lalu sebagai tarikh akhir untuk Felda menyelesaikan isu tertunggak selepas diberikan ruang rundingan mencukupi, namun tempoh berkenaan berakhir tanpa sebarang maklum balas.

Katanya, keadaan itu menyebabkan hasil yang sepatutnya kembali kepada rakyat tidak diterima dengan sewajarnya.

"Negeri berhak menuntut hasil daripada tanah yang sah miliknya. Ini bukan tuntutan baharu atau berlebihan, tetapi hak negeri yang tertangguh terlalu lama.

Artikel Berkaitan:

"Hasil ladang perlu kembali menyumbang kepada pembangunan dan kepentingan rakyat, bukan hanya menguntungkan pihak tertentu,"ujarnya.

Susulan itu, beliau menyatakan sokongan penuh terhadap langkah kerajaan negeri mempertahankan hak negeri.

"Penyelesaian segera amat diperlukan demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan ekonomi Terengganu,"katanya.

Sebelum ini, Felda dan FGV Holdings Berhad dalam kenyataan bersama pada Selasa memaklumkan, notis amaran kerajaan negeri melibatkan tanah ladang di Terengganu sedang diteliti dan bersedia menyelesaikan perkara tersebut berdasarkan peruntukan undang-undang.

Jelas kenyataan tersebut, pendekatan berlandaskan undang-undang penting bagi melindungi hak semua pihak termasuk 1,283 pekerja ladang yang bergantung kepada operasi tersebut sebagai sumber pendapatan utama.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!