FELDA, FGV sedia selesai isu tanah di Terengganu ikut saluran undang-undang

KUALA LUMPUR – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan FGV Holdings Berhad meneliti notis amaran kerajaan negeri melibatkan tanah ladang di Terengganu dan sedia menyelesaikan perkara tersebut berdasarkan peruntukan undang-undang.
Dalam kenyataan bersama pada Selasa, Felda dan FGV menyatakan notis berkaitan pendudukan tidak sah dan pencerobohan melibatkan ladang di Besut, Setiu, Dungun, Hulu Terengganu, Marang dan Kemaman kini dalam penelitian mereka.
Bagaimanapun, tempoh tiga hari yang diberikan untuk mengosongkan kawasan dan merobohkan struktur disifatkan sebagai terlalu singkat dalam konteks operasi komersial.
"Felda mempunyai asas kukuh di bawah Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 (Akta 530) serta Akta Pembangunan Tanah 1956 (Akta 474) yang memberikan mandat jelas kepada agensi itu bagi membangunkan kawasan penempatan berkelompok (GSA).
"Felda dan FGV kini menjalankan proses semakan terperinci membabitkan rekod sejarah, dokumentasi pembayaran premium, status hak milik serta syarat pembangunan ladang melalui audit tanah komprehensif dan verifikasi silang dengan pihak berkuasa negeri," kata kenyataan itu.
Jelasnya, Felda dan FGV akan bertindak berdasarkan rekod rasmi dan dokumentasi yang disahkan serta disokong oleh fakta.
Kenyataan tersebut turut menegaskan bahawa pembangunan ladang komersial di Terengganu selama ini menyumbang kepada pembangunan komuniti serta menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
Selain itu, katanya, operasi pengeluaran sawit oleh FGV turut menyokong rantaian industri lain di negeri itu, sekali gus menjana aktiviti ekonomi secara berterusan.
Jelas kenyataan tersebut, pendekatan berlandaskan undang-undang penting bagi melindungi hak semua pihak termasuk 1,283 pekerja ladang yang bergantung kepada operasi tersebut sebagai sumber pendapatan utama.
"Kebajikan pekerja, kepentingan komuniti peneroka dan kestabilan sosioekonomi komuniti setempat akan terus dipertahankan sebagai keutamaan tertinggi," kata kenyataan tersebut.
Selain itu, Felda dan FGV turut memberi jaminan bahawa notis amaran dikeluarkan kerajaan negeri tidak menjejaskan operasi ladang peneroka, dan komuniti tersebut boleh menjalankan aktiviti seperti biasa.
Namun, mereka mengakui notis berkenaan memberi kesan langsung kepada perancangan jangka panjang Felda dan FGV serta kelancaran operasi komersial, termasuk potensi penurunan hasil yang boleh menjejaskan pendapatan negara.
"Kita yakin penyelesaian terbaik dapat dicapai melalui proses perundangan yang teratur dan kerjasama erat antara semua institusi kerajaan.
"Setiap tindakan akan dilaksanakan selaras dengan undang-undang, sambil memelihara kepentingan pekerja, komuniti peneroka serta menghormati bidang kuasa negeri," menurut kenyataan itu.
Ahad lalu, Kerajaan Terengganu memulakan tindakan penguatkuasaan terhadap FGV Holdings Bhd dengan mengeluarkan 127 notis larangan menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran melibatkan 10 ladang seluas kira-kira 15,000 hektar.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Datuk Dr Azman Ibrahim berkata, notis di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) itu merupakan langkah awal tindakan perundangan selepas rundingan berhubung isu pembayaran hasil negeri gagal mencapai persetujuan.
Menurutnya, proses rundingan telah dibuka sejak sekian lama namun tidak menunjukkan perkembangan positif meskipun kerajaan negeri memberi tempoh sehingga 29 November lalu sebagai tarikh akhir.
Ringkasan AI
- Felda dan FGV meneliti notis amaran kerajaan negeri Terengganu berkaitan tanah ladang
- Notis melibatkan dakwaan pendudukan tanah tidak sah dan pencerobohan di beberapa daerah
- Felda memiliki asas undang-undang untuk membangunkan kawasan penempatan berkelompok
- Operasi ladang menyumbang kepada pembangunan komuniti dan ekonomi negeri Terengganu
- Penyelesaian isu ini akan dilakukan melalui proses perundangan dan kerjasama antara semua institusi kerajaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
