Isu tanah: Terengganu tidak abai pekerja ladang FGV - Exco

Azman (kiri) ketika penyerahan notis larangan menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran di salah satu ladang FGV di Terengganu pada Ahad. Foto Facebook Azman Ibrahim
Azman (kiri) ketika penyerahan notis larangan menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran di salah satu ladang FGV di Terengganu pada Ahad. Foto Facebook Azman Ibrahim
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu memberi jaminan kebajikan pekerja ladang FGV Holdings Bhd tidak akan diabaikan susulan tindakan penguatkuasaan terhadap isu 'pencerobohan' tanah kerajaan melibatkan 10 ladang seluruh negeri bermula Ahad lalu.

Exco Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Datuk Dr Azman Ibrahim berkata, kerajaan negeri memahami kebimbangan golongan itu, namun menjelaskan sebarang implikasi terhadap mereka bergantung kepada keputusan majikan iaitu FGV.

"Kita ada perancangan, tetapi tidak boleh mendahului waktu kerana setiap pekerja mempunyai majikan masing-masing.

"Setakat ini, kita juga belum dimaklumkan apa perancangan FGV terhadap pekerja mereka. Apabila tiba masanya, kita akan maklumkan. Apa yang pasti, kebajikan pekerja menjadi keutamaan kerajaan negeri," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Menurut beliau, tindakan penguatkuasaan yang dilakukan bukan bertujuan menghukum mana-mana pekerja, sebaliknya merupakan keperluan undang-undang selepas kerajaan negeri memberi ruang rundingan yang mencukupi tetapi tidak menerima kerjasama sewajarnya daripada Felda.

"Kita tidak mahu ada sesiapa menjadi mangsa dalam usaha kita mengembalikan hak negeri. Kita tidak menzalimi sesiapa," katanya.

Beliau berkata, sebarang perancangan kerajaan negeri berkaitan kebajikan pekerja yang mungkin terjejas hanya dapat dibuat selepas melihat tindakan susulan FGV berikutan penerimaan notis di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN)

Jelas beliau, tempoh 40 hari yang berakhir pada 29 November lalu sepatutnya menjadi ruang terakhir untuk Felda memberikan maklum balas selepas rundingan berlarutan selama lebih empat dekad.

"Sehingga tempoh itu tamat, Felda  masih gagal memberikan sebarang respons terhadap tuntutan kerajaan negeri.

Artikel Berkaitan:

"Seperti yang dipersetujui kedua-dua pihak, kerajaan negeri akan menguatkuasakan tindakan undang-undang," ujarnya.

Ringkasan AI

  • Kerajaan Terengganu memberi jaminan kebajikan pekerja ladang FGV Holdings Bhd tidak akan diabaikan susulan tindakan penguatkuasaan isu 'pencerobohan' tanah
  • Implikasi kepada pekerja bergantung kepada keputusan majikan, FGV
  • Kebajikan pekerja menjadi keutamaan kerajaan negeri
  • Tindakan penguatkuasaan adalah keperluan undang-undang selepas gagalnya rundingan dengan Felda
  • Perancangan kerajaan negeri berkaitan kebajikan pekerja hanya dapat dibuat selepas melihat tindakan susulan FGV

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!