Belanjawan terbesar Perak diluluskan

DUN Perak meluluskan Belanjawan Negeri Perak 2026 berjumlah RM1.61 bilion pada Selasa.
DUN Perak meluluskan Belanjawan Negeri Perak 2026 berjumlah RM1.61 bilion pada Selasa.
A
A
A

IPOH – Belanjawan Negeri Perak 2026 berjumlah RM1.61 bilion diluluskan secara sebulat suara selepas dibentang dan dibahas selama empat hari sempena Mesyuarat Ketiga, Tahun Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Selasa.

Usul yang diluluskan di bawah Enakmen Perbekalan 2026 itu mendapat sokongan 59 ADUN yang hadir tanpa sebarang bantahan dengan sedikit pindaan.

Sepanjang perbahasan selama tiga hari bermula 26 November, seramai 44 ADUN telah berbahas iaitu masing-masing 18 orang mewakili kerajaan dan 26 dari blok pembangkang.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad membuat penggulungan perbahasan belanjawan tersebut dengan menjawab pelbagai soalan dikemukakan oleh ADUN ketika sesi perbahasan.

Terdahulu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Seri Mohammad Zahir Abdul Khalid meminta semua ADUN yang menyokong belanjawan tersebut menyatakan persetujuan.

Kesemua ADUN kemudiannya menyatakan persetujuan secara sebulat suara terhadap belanjawan berkenaan.

Mohammad Zahir kemudiannya mengumumkan Belanjawan Perak 2026 diluluskan pada bacaan kali kedua dan kali ketiga.

Pada 25 November lalu, Saarani membentangkan Belanjawan 2026 berjumlah RM1.61 bilion yang merangkumi RM1.045 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM568 juta bagi perbelanjaan pembangunan, sekali gus menjadi belanjawan tertinggi pernah direkodkan dalam sejarah negeri.

Belanjawan bertema Perak Makmur, Rakyat Sejahtera itu memberi fokus kepada lima bidang utama: kesejahteraan rakyat; tadbir urus projek berkepentingan negeri; pembangunan modal insan dan belia; kelestarian alam sekitar; serta keterjaminan bekalan makanan dengan matlamat utama terus membela rakyat.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Peningkatan RM80 juta berbanding Belanjawan 2025 itu adalah hasil sumbangan daripada kutipan cukai sebanyak RM691 juta, hasil bukan cukai RM559 juta, terimaan bukan hasil RM230 juta dan terimaan pembangunan RM38 juta.

Bagi perbelanjaan mengurus, pecahan komposisi melibatkan emolumen sebanyak RM496 juta; perkhidmatan dan bekalan RM385.9 juta; pembelian aset RM13.9 juta; pemberian dan kenaan bayaran tetap RM143.8 juta; serta lain-lain perbelanjaan RM5.9 juta.

Sektor kesejahteraan rakyat menerima peruntukan terbesar berjumlah RM718.5 juta, iaitu peningkatan RM89.8 juta berbanding tahun sebelumnya bagi memperkukuh perkhidmatan rakyat dan memperluas jaringan kebajikan.

Antara inisiatif tersebut termasuk peluasan Kad Perak Sejahtera kepada 21,000 penerima, pengukuhan program Jualan Sejahtera Rakyat dan Jualan Sejahtera Rahmah serta peningkatan Bantuan Kotak Makanan.

Selain itu, sebanyak RM130.8 juta diperuntukkan kepada Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) meliputi pengukuhan operasi, pembangunan institusi pentadbiran Islam serta kerja baik pulih masjid, surau dan sekolah agama.

Bagi aspek pendidikan, pembangunan modal insan dan belia, kerajaan negeri menyediakan RM100.59 juta yang merangkumi bantuan pendidikan, biasiswa Menteri Besar, program tuisyen Cikgu Saarani dan bantuan pelajar universiti.

Turut diperuntukkan ialah RM7 juta bagi pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi melahirkan tenaga mahir mengikut keperluan industri.

Sektor keterjaminan makanan pula menerima RM73.06 juta meliputi projek tanaman strategik dan pembangunan kebun komuniti.

Ringkasan AI

  • Belanjawan Negeri Perak 2026 berjumlah RM1.61 bilion diluluskan secara sebulat suara
  • Fokus utama belanjawan pada kesejahteraan rakyat, tadbir urus projek, pembangunan modal insan dan belia, kelestarian alam sekitar, dan keterjaminan bekalan makanan
  • Peningkatan RM80 juta berbanding Belanjawan 2025 hasil daripada kutipan cukai dan hasil bukan cukai
  • Sektor kesejahteraan rakyat menerima peruntukan terbesar RM718.5 juta untuk memperkukuh perkhidmatan rakyat dan kebajikan
  • RM100.59 juta diperuntukkan untuk pendidikan, pembangunan modal insan dan belia termasuk bantuan pendidikan dan biasiswa

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!