Penerima BKK Perak ditambah, guru tadika Islam, pegawai kontrak masuk senarai

IPOH - Bantuan Khas Kewangan (BKK) Perak dipanjangkan kepada beberapa kategori penerima tambahan iaitu guru tadika Islam, guru Aiman, guru dakwah, pegawai lantikan kontrak dan guru sandaran tidak terlatih, sebagai penghargaan terhadap jasa mereka kepada masyarakat.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika mengumumkan perkara itu berkata, guru tadika Islam dan guru dakwah yang diuruskan oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) akan menerima BKK pada kadar RM400.
Menurutnya, pegawai dan kakitangan lantikan kontrak (CFS) serta guru sandaran tidak terlatih (DHCT) di bawah tanggungan kerajaan negeri pula menerima bantuan kewangan bersamaan dua bulan gaji.
"Keputusan ini dibuat selepas meneliti cadangan pelbagai pihak termasuk wakil rakyat yang membangkitkan isu ini dalam Dewan Undangan Negeri.
"Dalam ruang lingkup yang kita ada kemampuan, Insya-ALLAH kita akan berbelanja bagi tujuan pegawai-pegawai kerajaan," katanya dalam sesi penggulungan Belanjawan Perak 2026 di sini pada Selasa.
Saarani berkata, kerajaan negeri mengambil maklum cadangan agar bantuan khas turut diberikan kepada penjawat awam persekutuan di Perak termasuk polis, tentera, doktor, jururawat dan kakitangan kerajaan lain.
Beliau menjelaskan, dengan jumlah pegawai persekutuan seramai 89,000 orang di negeri ini, kerajaan negeri perlu menilai kemampuan kewangan sebelum menyalurkan bantuan secara menyeluruh.

"Sekiranya disalurkan satu bantuan RM100 seorang, jumlahnya mencecah RM8.9 juta, manakala jika RM500 seorang, ia mencecah RM44 juta.
"Sebab itu kita minta maaf, barangkali di tempat lain itu, bilangan (penjawat awam) rendah, tetapi kita (Perak), kena ambil kira (kedudukan kewangan).
"Berdoalah, semoga ALLAH membuka rezeki kita untuk tahun-tahun akan datang," katanya.
Ketika membentangkan Belanjawan Perak, 25 November lalu, Saarani mengumumkan BKK sebanyak dua bulan gaji kepada penjawat awam di negeri ini.
Bagi pemimpin masyarakat iaitu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Tradisional, Kampung Baru Cina dan India serta Tok Batin akan menerima bantuan khas sama pada kadar RM600.
Bantuan khas juga dipanjangkan kepada semua guru KAFA, guru I'dadi dan Thanawi pada kadar RM400.
Sementara itu, sebagai pengiktirafan terhadap peranan penting Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN), kerajaan negeri memperuntukkan bantuan khas kewangan dua bulan elaun iaitu RM20,000 kepada setiap pusat khidmat.
Ringkasan AI
- Bantuan Khas Kewangan Perak dipanjangkan kepada guru tadika Islam, guru Aiman, guru dakwah, pegawai kontrak dan guru sandaran tidak terlatih
- Guru tadika Islam dan guru dakwah menerima BKK pada kadar RM400
- Pegawai dan kakitangan kontrak serta guru sandaran tidak terlatih di bawah tanggungan kerajaan negeri menerima bantuan kewangan bersamaan dua bulan gaji
- Kerajaan negeri mempertimbangkan untuk memberi bantuan khas kepada penjawat awam persekutuan di Perak termasuk polis dan doktor
- Bantuan khas dua bulan gaji juga diberikan kepada penjawat awam negeri, pemimpin masyarakat dan semua guru KAFA, guru I'dadi dan Thanawi serta pusat khidmat DUN
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

