Belanjawan Perak dibentang 25 November ini

Mohammad Zahir (tengah) memaklumkan persidangan kali ini berlangsung selama enam hari sehingga 2 Disember dengan pengisian utama pembentangan Enakmen Perbekalan 2026 dan Usul Kumpulan Wang Pembangunan 2026.
Mohammad Zahir (tengah) memaklumkan persidangan kali ini berlangsung selama enam hari sehingga 2 Disember dengan pengisian utama pembentangan Enakmen Perbekalan 2026 dan Usul Kumpulan Wang Pembangunan 2026.
A
A
A

IPOH - Perak akan membentangkan Belanjawan 2026 sempena Persidangan Dewan Negeri pada 25 November depan.

Yang Dipertua Dewan Negeri Perak, Datuk Seri Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, persidangan berlangsung selama enam hari sehingga 2 Disember dengan pengisian utama pembentangan Enakmen Perbekalan 2026 dan Usul Kumpulan Wang Pembangunan 2026 oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Menurutnya, sesi perbahasan bajet akan dimulakan pada hari kedua persidangan, 26 November dengan masa diperuntukkan selama 45 minit kepada penyokong kerajaan dan Ketua Pembangkang, manakala 20 minit bagi setiap ADUN lain.

Mengulas mengenai kandungan bajet negeri kali ini, Mohammad Zahir secara berseloroh berkata, butiran awal tidak boleh didedahkan kerana masih tertakluk kepada embargo, namun memberi jaminan bahawa belanjawan kali ini adalah yang terbaik.

"Saya percaya Belanjawan Negeri Perak kali ini adalah bajet yang baik dan selari dengan dasar serta perancangan di bawah Perak Sejahtera 2030," katanya dalam sidang media sempena Mesyuarat Ketiga, Tahun Ketiga Dewan Negeri ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.

Turut hadir, Timbalan Yang Dipertua Dewan Negeri, Jenny Choy dan Setiausaha Dewan Negeri, Mohd Ikram Ahmad.

Mohammad Zahir berkata, DUN Perak juga akan mempertimbangkan tiga usul lain berkaitan pelantikan ahli jawatankuasa pilihan termasuk Jawatankuasa Perintah-Perintah Tetap, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan serta Jawatankuasa Kebajikan Ahli.

Dalam masa sama, beliau memaklumkan bahawa orang ramai boleh mengikuti perjalanan persidangan secara langsung menerusi saluran YouTube DUN Perak, portal rasmi kerajaan negeri dan laman Facebook Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak sepanjang tempoh persidangan.

Beliau turut mengalu-alukan kehadiran wakil sekolah, mahasiswa, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam yang berminat untuk menjadi pemerhati persidangan.

Artikel Berkaitan:

"Permohonan boleh dibuat melalui portal rasmi Dewan Negeri atau dihantar terus ke Bahagian Dewan Negeri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.

"Pas pemerhati akan disediakan bagi memudahkan urusan sepanjang perjalanan persidangan," katanya.

Ringkasan AI

  • Perak akan membentangkan Belanjawan 2026 pada 25 November dalam Persidangan Dewan Negeri
  • Persidangan berlangsung selama enam hari dan memaparkan pembentangan Enakmen Perbekalan 2026 dan Usul Kumpulan Wang Pembangunan
  • Sesi perbahasan bajet bermula pada 26 November dengan masa berbahas yang berbeza bagi penyokong kerajaan, Ketua Pembangkang, dan ADUN lain
  • Belanjawan kali ini dijamin sebagai yang terbaik dan selari dengan dasar Perak Sejahtera 2030
  • Orang ramai boleh mengikuti perjalanan persidangan secara langsung melalui pelbagai platform digital dan permohonan untuk menjadi pemerhati persidangan boleh dibuat melalui portal rasmi Dewan Negeri

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!